top of page

3 peratus projek 'sakit' akibat kenaikan harga bahan binaan


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
"..kedudukan kewangan kontraktor yang lemah akibat kenaikan bahan binaan dan kos operasi lain serta kekurangan pekerja asing."

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR: Kenaikan bahan binaan yang mendadak, menyebabkan tiga peratus atau 25 projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berdepan masalah atau 'sakit' di Semenanjung.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata faktor lain, termasuk kedudukan kewangan kontraktor yang lemah akibat kenaikan bahan binaan dan kos operasi lain serta kekurangan pekerja asing.


Beliau berkata, ketika ini, sebanyak 800 projek masih dalam pembinaan, termasuk projek jalan raya dan bangunan.


"Masalah projek sakit berlaku kerana kenaikan bahan binaan secara mendadak, lebih-lebih bahan yang diimport. Sekarang berlaku inflasi dan bukan hanya bahan binaan yang mengalami kenaikan tetapi juga semua bahan keperluan.


"Bahan binaan naik mendadak ini memang menjadi satu masalah utama walaupun kerajaan sudah membantu dengan pelbagai cara, termasuk melanjutkan masa kepada pihak kontraktor," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Townhall bersama kontraktor G1-G3 di Kompleks Kementerian Kerja Raya, di sini, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) kementerian, Datuk Zaharul Hakim Abdullah; Ketua Eksekutif Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid; Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.


Mengulas lanjut, Alexander berkata, ketika ini, pihaknya masih berusaha mencari jalan untuk menyiapkan semua projek berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya akan cuba mengelak untuk menyuntik kewangan berlebihan bagi projek sedemikian kerana ia tidak adil kepada pembinaan projek baharu.


Sementara itu, beliau berkata, industri pembinaan di negara ini memerlukan kira-kira 400,000 pekerja asing dan ketika ini, masih kekurangan lebih 120,000 lagi pekerja asing.


Katanya, perubahan dan penambahbaikan sistem pengambilan pekerja asing yang dipermudahkan dan lebih terurus, baru-baru ini membolehkan sejumlah pekerja asing diperoleh dengan lebih lancar.


Berkenaan pemberian projek kepada warga asing, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa kerana ia tidak sepatutnya berlaku.


"Kita akan bertindak sewajarnya jika ada aduan. Namun, kita akan memberi teguran terlebih dahulu kepada kontraktor yang menggunakan warga asing," katanya.


Terdahulu, ketika berucap, Alexander berkata, sesi Townhall yang pertama kali diadakan itu bertujuan mendekati dan mendengar sendiri isu, cabaran dan kekangan yang dihadapi pemain industri ketika ini.


Katanya, pendekatan itu selaras dengan nilai ihsan di bawah konsep Malaysia MADANI iaitu keprihatinan dan bersikap peduli terhadap komuniti terkesan.


"Saya juga amat mengalu-alukan pandangan serta idea daripada pihak kontraktor untuk membantu dalam merancakkan semula industri pembinaan negara.


"Saya percaya banyak syarikat kontraktor G1-G3 menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha memastikan syarikat mereka kekal berada dalam pasaran, namun ada juga yang terpaksa gulung tikar," katanya.


Beliau berkata, berdasarkan data CIDB, daripada jumlah 124,273 kontraktor yang berdaftar di negara ini, sebanyak 101,623 adalah kontraktor G1-G3 dan daripada jumlah itu, sebanyak 66,862 kontraktor G1-G3 memiliki sijil perakuan kerja kerajaan.


Katanya, ia jelas menunjukkan kontraktor G1-G3 adalah pemain industri pembinaan yang utama dalam agenda pembangunan negara.


"Adalah menjadi harapan kerajaan supaya syarikat kontraktor terutamanya kontraktor G1-G3 dapat membina dan meningkatkan kualiti serta keupayaan perkhidmatan supaya lebih kompetitif dan berdaya saing, selaras dengan gelombang revolusi industri keempat yang dijangka akan mengubah landskap industri pembinaan di Malaysia," katanya.


Sumber: Berita Harian


13 views

Comments


bottom of page