top of page

Harga besi, simen catat penurunan


Harga besi, simen catat penurunan
Harga bahan utama binaan mencatatkan penurunan pada Julai 2023 - Foto hiasan

Harga besi, simen catat penurunan

KUALA LUMPUR: Harga besi bagi hampir semua kawasan Malaysia mencatat penurunan bulan ke bulan pada Julai 2023 dengan indeks harga seunit besi berkurangan antara 0.5 peratus dan 4.0 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks harga seunit keluli dan logam juga mencatatkan penurunan antara 0.2 peratus dan 4.0 peratus bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


"Penurunan indeks harga besi dan keratan keluli dan logam ini adalah seiring dengan senario penurunan harga besi dan bijih besi di peringkat global," katanya dalam kenyataan media Indeks Kos Bahan Binaan Julai 2023 yang dikeluarkan hari ini.


Mohd Uzir berkata, selain besi dan keratan keluli dan logam, bahan utama binaan lain seperti simen juga mula mencatatkan penurunan harga berbanding Jun 2023 dengan kadar antara 0.2 peratus dan 1.7 peratus.


Bagaimanapun, katanya, perbandingan bulanan bagi bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan batu baur telah mencatatkan peningkatan harga iaitu antara 0.2 peratus dan 2.7 peratus.


Dari segi perbandingan secara tahunan untuk tempoh Julai 2022 dan Julai 2023, menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.9 peratus dan 23.8 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kata beliau.


Selain itu, dalam konteks item serta kawasan, indeks harga seunit bahan binaan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.2 peratus hingga 23.8 peratus bagi Julai 2023 berbanding bulan sama tahun lalu.


Mohd Uzir berkata, peningkatan tertinggi bagi kawasan di Semenanjung Malaysia adalah simen di Kelantan dan Terengganu (23.8 peratus) dan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (18.0 peratus).


"Indeks harga bagi seunit bahan binaan yang mencatatkan peningkatan tertinggi di Sabah adalah bahan paip di Kota Kinabalu (14.6 peratus) manakala di Sarawak pula adalah kayu di Sibu (31.7 peratus) dan batu bata serta dinding di Miri (21.1 peratus)," katanya.


Pada masa sama, indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia pada Julai 2023 meningkat antara 0.2 peratus dan 3.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.


Peningkatan tertinggi membabitkan cerucuk kayu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Menurut Jabatan Perangkaan, IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan penurunan di antara 0.1 peratus dan 1.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Tawau pada Julai 2023 berbanding bulan sebelumnya.


Manakala, IKB termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan Sandakan pula kekal tidak berubah pada Julai 2023 berbanding bulan sebelumnya.


Dari segi perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada Julai 2023 menunjukkan penurunan antara 0.1 peratus dan 2.1 peratus bagi hampir semua kategori bangunan, terutama di Kuching dan Miri.


"Namun begitu, kebanyakan kategori bangunan di Sibu pula mencatatkan peningkatan indeks yang perlahan iaitu 0.1 peratus dan 0.2 peratus," katanya.


Sumber: Berita Harian


Harga besi, simen catat penurunan

8 views
bottom of page