top of page

Harga bahan binaan catat penurunan


Harga bahan binaan catat penurunan
IKB bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus pada September -NSTP/Effendy Rashid

Harga bahan binaan catat penurunan

PUTRAJAYA: Indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti besi, pasir, batu bata dan dinding serta bahan kerja paip bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada September 2023 menunjukkan penurunan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Indeks harga besi bagi September 2023 turun antara 0.1 peratus dan 4.0 peratus dalam indeks harga seunit besi untuk hampir semua kawasan berbanding Ogos.


"Indeks harga seunit simen bagi kebanyakan kawasan pula kekal tidak berubah berbanding Ogos 2023, namun begitu sedikit peningkatan dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.5 peratus), Terengganu dan Kelantan (0.3 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2 peratus)," kata DOSM.


Dalam pada itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 'high tensile deformed bars' adalah RM3,586.98 bagi setiap tan metrik, dengan penurunan yang kecil iaitu 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.


Sementara itu, indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus pada September berbanding bulan sebelumnya.


"Peningkatan tertinggi adalah bagi kategori bangunan (konkrit tetulang) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang," kata jabatan itu.


DOSM berkata, IKB (termasuk bar keluli) di Sabah menunjukkan penurunan di antara negatif 0.2 peratus dan negatif 0.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya.


Katanya, perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada September 2023 menunjukkan peningkatan indeks di antara 0.1 peratus dan 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri.


"Manakala, indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu mencatatkan penurunan indeks sebanyak 0.1 peratus kecuali bagi bangunan (konkrit tetulang) satu tingkat dan bangunan kayu," katanya.


Sumber: Berita Harian


Harga bahan binaan catat penurunan


13 views
bottom of page