top of page

Glomac raih pendapatan RM341.0 juta


Glomac raih pendapatan RM341.0 juta
Bangunan Menara Glomac, Petaling Jaya. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL

Glomac raih pendapatan RM341.0 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd mencatatkan pendapatan RM341.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023, peningkatan 31 peratus berbanding RM259.5 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama 2022.


Pendapatan kumpulan bagi suku keempat berakhir 30 April 2023 melonjak 78 peratus kepada RM131.1 juta.


Glomac dalam satu kenyataan berkata, pendapatannya meningkat disokong aktiviti pembinaan yang berterusan, termasuk fasa pembangunan terkini di projek perbandaran Saujana Perdana di Sungai Buloh, serta Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences, dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi di daerah Petaling Jaya – Damansara.


Bagi tahun itu, ia berkata, keuntungan sebelum cukai pemaju hartanah itu mencatatkan penurunan kepada RM50.5 juta, berikutan peningkatan kos pembinaan serta perbelanjaan kos operasi yang lain.


Katanya, keuntungan sebelum cukai pada suku keempat tahun kewangan 2023 pula berjumlah RM20.9 juta.


Kedudukan kewangan Glomac kekal sihat pada posisi penggearan bersih 0.16 kali setakat 30 April 2023, berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1,177.8 juta.


Kedudukan tunai dan deposit tunai terus meningkat kepada RM288.8 juta.


Aset bersih kumpulan bagi setiap saham juga meningkat lebih tinggi kepada RM1.53 tahun ini berbanding RM1.51 tahun sebelumnya.


Bagi tahun kewangan 2023, Lembaga Pengarah telah mencadangkan dividen peringkat tunggal terakhir sebanyak 1.25 sen setiap saham, diterjemahkan kepada empat peratus hasil dividen pada harga saham semasa.


Jumlah itu akan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang.


Glomac berkata, penawaran produk yang kukuh dan kempen jualan yang berkesan telah menyebabkan peningkatan 89 peratus jualan baharu berjumlah RM302 juta untuk tahun ini.


Fasa pembangunan berterusan di Saujana Perdana dan Saujana Utama 5, serta kediaman bertingkat tinggi di Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences terus menjana jualan yang stabil.


Pada suku keempat tahun kewangan 2023, Glomac memperkenalkan fasa komersial di bawah projek perbandaran Saujana Perdana yang mendapat sambutan yang menggalakkan.


Kadar pembelian 81 rumah kedai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM68 juta adalah memberangsangkan.


Pada 30 April 2023, pertumbuhan jualan yang lebih kukuh telah diterjemahkan kepada jualan yang tidak dibilkan sebanyak RM528 juta, memberikan gambaran pendapatan jangka pendek.


Bagi tahun kewangan baharu, Glomac terus menumpukan perhatian untuk memastikan jadual pembinaan diuruskan dengan baik serta penyerahan mengikut jadual bagi semua projek yang sedang diteruskan.


Glomac mempunyai perancangan projek yang kukuh dengan GDV sebanyak RM8 bilion untuk terus memacu aktiviti pembangunan dan mengekalkan momentum jualannya.


Penekanan masih tertumpu kepada projek perbandaran dan pembangunan kediaman mampu milik khasnya kawasan persekitaran KL serta pasaran perbandaran dan pembangunan pertengahan, yang mana Glomac sebagai pemaju terkenal dengan rekod prestasi yang kukuh.


Sumber: Berita Harian


Glomac raih pendapatan RM341.0 juta


Commentaires


bottom of page