top of page

Belanjawan 2021: Glomac harap had ambang belian hartanah warga asing diseragamkan


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar. - NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, berharap kerajaan membenarkan warga asing untuk membeli hartanah kediaman di Malaysia selain menyeragamkan had ambang pembelian untuk warga asing di setiap negeri dalam Belanjawan 2021.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar, berkata malahan seperti diketahui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) juga telah dibekukan buat masa ini.


Katanya, langkah itu sesuatu yang merugikan kepada negara kerana ramai pelabur asing yang berminat untuk melabur ke Malaysia dan kerajaan sewajarnya mengambil kesempatan ini sebagai pemangkin untuk membenarkan pelabur asing untuk datang membeli rumah di sini.


"Ketika ini, pemilikan hartanah kediaman warga asing di Malaysia hanya sekitar dua peratus, jumlah ini jauh lebih kecil berbanding Singapura, 35 peratus dan Dubai (49 peratus).


"Jadi, saya berpandangan kita sewajarnya membenarkan pembeli asing untuk kembali ke pasaran Malaysia. Selain itu, saya juga mahukan ambang pembelian hartanah kediaman untuk warga asing di setiap negeri diseragamkan.


"Ketika ini terdapat negeri yang menetapkan ambang jualan pada RM1 juta dan ada yang meletakkan kadar RM2 juta walaupun kerajaan pusat telah menurunkan ambang ini kepada RM600,000.


"Namun, banyak negeri tidak mengikut penetapan ini dan saya berharap ambang ini dapat diturunkan di setiap negeri kepada RM600,000 hingga RM700,000 sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun depan," katanya pada sidang media maya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.


Mengenai perkembangan projek perumahan kumpulan itu pula, FD Iskandar berkata, pihaknya merancang untuk mengubah ruang keluarga atau stor di setiap kediaman projeknya menjadi ruang yang sesuai untuk dijadikan tempat bekerja atau belajar.


Katanya, ini memandangkan konsep bekerja dari rumah (WFH) atau belajar dari rumah (SFH) yang dilihat sudah menjadi norma baharu buat rakyat Malaysia ketika ini dan pada masa akan datang.


"Ruang WFH ini akan dijadikan sebagai satu standard untuk semua projek hartanah kami pada masa akan datang. Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi menyediakan capaian internet yang lebih pantas untuk di setiap rumah," katanya.


Mengulas mengenai prestasi tahun hadapan, FD Iskandar berkata, jualan dan prestasi kewangan Glomac dijangka mampu dikekalkan, disokong oleh jualan belum dibil sebanyak RM660 juta (pada akhir suku pertama tahun kewangan 2021 dan penyambungan aktiviti pembinaan selepas perintah kawalan pergerakan.


"Tambahan lagi, kumpulan bercadang melancarkan tiga projek baharu pada TK21 bernilai RM403 juta dari segi nilai pembangunan kasar.


"Pelancaran baharu ini terdiri daripada projek kediaman bertanah mampu milik dan pasaran pertengahan di Saujana Perdana di Sungai Buloh, Saujana KLIA di Sepang dan Saujana Jaya di Johor," katanya.



Komentáre


bottom of page