Mawar Sari projek terbaharu Glomac di Saujana Perdana


Pembangunan projek hartanah Glomac di Bandar Saujana Utama.

SUNGAI BULOH - Glomac Berhad (Glomac) merancakkan pembangunan di Bandar Saujana Utama di sini dengan memperkenalkan kediaman terbaharu Mawar Sari yang terletak di Saujana Perdana.


Menawarkan 120 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,650 kaki persegi, Mawar Sari dijangka bakal menarik minat pembeli.


Ia berdasarkan rekod pembelian rumah bagi projek terdahulu yang terjual dalam tempoh beberapa minggu selepas dilancarkan.


Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Glomac Berhad, Zulkifly Garib berkata, Glomac berjaya menjual sebanyak 1,120 buah rumah teres dua tingkat di lokasi sama termasuk Mayang Sari,Tresna Teratai, Tresna Teruntum, Tresna Cermai, Cempaka Sari dan lain-lain lagi.


"Mawar Sari yang bakal dilancarkan tidak lama lagi begitu popular di kalangan pembeli kerana rekaannya yang memberikan ruang luas untuk pemilik berkreatif, mengubah suai serta menghias kediaman sendiri.


"Kediaman ini boleh dikategorikan sebagai pelaburan yang bijak jika dihitung jaraknya dari pusat bandar selain kemudahan yang lengkap, saiz kediaman dan harga yang ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, selepas Mawar Sari, Glomac merancang memperkenalkan beberapa produk lagi di kawasan itu termasuk rumah kedai dan juga kediaman berteres.


"Ternyata visi Glomac membangunkan kawasan yang sebelum ini terpinggir tepat sekali dan permintaan untuk rumah kediaman mahupun hartanah komersial di situ amat tinggi.


"Pemaju-pemaju lain pun telah juga mula membina projek perumahan mereka di sekitar Bandar Saujana Utama beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.


Glomac merupakan antara pemaju perintis di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh yang berusaha membangunkan kawasan Sungai Buloh dengan visi menjadikan kawasan itu sebagai penempatan golongan muda berkeluarga yang bekerja di pusat bandar.


Zulkifly berkata, dahulunya kawasan Bandar Saujana Utama yang terbentang seluas 1,200 ekar ini dianggap terpinggir dari pusat bandar, kini tidak lagi.


"Visi Glomac kini menjadi kenyataan termasuklah adanya rangkaian akses melalui beberapa lebuhraya yang akan dapat memberi kelebihan kepada penduduk di sini.


“Antara jaringan akses yang tersedia termasuklah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya LATAR atau Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Shah Alam–Damansara (DASH) yang masih dalam proses pembinaan serta Jalan pintas ke Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) melalui Persiaran Shorea.


“Rangkaian lebuh raya yang sebegini secara langsung telah membuatkan hubungan ke kawasan-kawasan utama Lembah Klang menjadi mudah, lancar dan memberi pilihan rancangan perjalanan yang baik kepada penduduk,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #projek

9 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.