top of page

Gamuda sasar projek pembangunan pam hidro di Australia


Gamuda sasar projek pembangunan pam hidro di Australia Astro Awani www.astroawani.com
Pelan RE Gamuda telah melebihi sempadan Malaysia yang menyaksikan Australia sebagai pasaran terpenting dan utama bagi kumpulan itu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd menyasarkan beberapa projek pembangunan pam hidro di Australia dalam usaha mempelbagaikan portfolionya untuk menjadi antara peserta utama dalam perniagaan tenaga boleh baharu (RE).


Pengarah Urusan kumpulan Datuk Lin Yun Ling berkata pelan RE Gamuda telah melebihi sempadan Malaysia yang menyaksikan Australia sebagai pasaran terpenting dan utama bagi kumpulan itu.



"Australia dijangka muncul sebagai pengeluar dan pengeksport utama RE dalam masa beberapa tahun akan datang dan kumpulan bersedia untuk membida projek di negara berkenaan.


"Ada beberapa (projek) mengenai RE yang telah dalam perancangan oleh kerajaan Australia yang mempunyai tumpuan kukuh kepada penghasilan tenaga hijau, dan antara yang kami bida adalah di Tasmania," katanya pada sidang akhbar secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Gamuda ke-46 pada Khamis.

Lin berkata kumpulan itu telah memperuntukkan jumlah pelaburan bernilai RM2 bilion bagi segmen RE di bawah pelan perniagaan lima tahunnya dengan matlamat untuk menyediakan sumber tenaga hijau mencukupi bagi memenuhi permintaan besar di pasaran dalam masa beberapa tahun akan datang.

"Pada masa ini, di Malaysia, wujud ketidakseimbangan bekalan-permintaan bagi tenaga hijau, dan apabila kitaran yang mencabar ini ditangani, kita akan menyaksikan permintaan besar.

"Kami tidak perlu mendapatkan dana luaran bagi (peruntukan) RM2 bilion itu memandangkan tahap kadar hutang kami hampir sifar.


Melihat kepada asas aset kami, kami boleh meminjam sehingga RM7-8 bilion, dan had tahap kadar hutang adalah 70 peratus daripada aset bersih kami," katanya.

Baru-baru ini, Gamuda menandatangani perjanjian langganan dan pemegang saham dengan ERS Energy Sdn Bhd untuk melanggan saham baharu mewakili 30 peratus kepentingan ekuiti dalam penyedia perkhidmatan tenaga solar tempatan itu.

Pelaburan strategik dan kerjasama dengan ERS itu adalah langkah kukuh untuk mempercepat pelan RE berskala besar Gamuda.

Lin berkata, kumpulan itu bukan sahaja ingin berperanan sebagai kontraktor ladang solar berikutan membeli kepentingan dalam ERS Energy, malah, turut mengadakan perbincangan lanjut dengan aset RE berskala besar lain.

Beliau menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk mempercepat tindakan yang jelas ke arah penyahkarbonan di negara ini.

"Susulan pembentukan kerajaan baharu dan kehadiran ramai muka baharu, mereka boleh tampil dengan idea, dasar baharu serta pendekatan lebih berkesan untuk memastikan langkah penyahkarbonan negara mencapai objektif sifar bersih," katanya.


Sumber: Astro Awani


1 view

Comments


bottom of page