top of page

Gamuda pecah rekod nilai kontrak pembinaan, jualan


Gamuda pecah rekod nilai kontrak pembinaan, jualan
Taman Tema SplashMania di perbandaran Gamuda Cove -NSTP/Saifullizan Tamadi

Gamuda pecah rekod nilai kontrak pembinaan, jualan

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Gamuda Bhd melonjak kepada RM1.84 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 berbanding RM806.23 juta pada tahun sebelumnya berikutan nilai perolehan kontrak pembinaan, jualan hartanah, perolehan dan pendapatan yang mencapai prestasi pecah rekod.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju itu berkata perolehannya naik 41 peratus tahun ke tahun kepada RM9.1 bilion pada tahun kewangan 2023, termasuk bahagian perolehan syarikat usaha sama bernilai RM807.64 juta.


Ia melaporkan perolehan luar negara meningkat dua kali ganda kepada RM4.6 bilion daripada RM2.0 bilion pada tahun lalu, disokong oleh bahagian pembinaan, yang melonjak empat kali ganda kepada RM3.5 bilion daripada RM714 juta pada tahun lepas berikutan peningkatan yang ketara dalam kemajuan kerja projek-projek di Australia dan Taiwan.


"Ia satu lagi tahun yang mencatatkan prestasi pecah rekod untuk bahagian hartanah dengan prestasi tinggi sepanjang masa dalam jualan, perolehan dan pendapatan.


"Jualan hartanah meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM4.1 bilion, memecahkan rekod tahun lalu sebanyak RM4 bilion.


"Perolehan hartanah mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM2.8 bilion daripada RM2.7 bilion pada tahun lalu manakala pendapatan hartanah meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM315 juta daripada RM310 juta pada tahun lalu," menurut kumpulan itu.


Pada suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih Gamuda merosot kepada RM251.75 juta daripada RM255.24 juta pada suku tahun sama sebelumnya manakala perolehan naik hampir dua kali ganda kepada RM3.42 bilion daripada RM1.86 bilion sebelum ini.


Mengenai prospek, kumpulan menjangka prestasi tahun depan akan didorong oleh aktiviti pembinaan di luar negara berikutan projek di Australia dan Taiwan terus mencatatkan kemajuan, sumbangan tahun penuh daripada perniagaan projek pengangkutan Australia, Downer Transports Projects (DTP) yang baru diambil alih dan jualan hartanah, termasuk sumbangan lebih tinggi daripada projek pemulihan bahagian hartanah yang baru dilancarkan.


"Melangkah ke hadapan, daya tahan kumpulan disokong oleh nilai perolehan kontrak pembinaan yang besar sebanyak RM21 bilion, termasuk rangsangan nilai perolehan kontrak sebanyak RM4.4 bilion daripada pengambilalihan DTP di Australia dan jualan hartanah yang belum dijelaskan sebanyak RM6.7 bilion.


"Selain itu, kumpulan mempunyai lembaran imbangan yang baik dengan nisbah hutang bersih yang selesa sebanyak 25 peratus, jauh di bawah had nisbah hutang yang dikenakan sendiri sebanyak 70 peratus," katanya.


Sumber: Berita Harian


Gamuda pecah rekod nilai kontrak pembinaan, jualan

30 views
bottom of page