top of page

Gaji jurutera statik


23 Oktober 2019


KUALA LUMPUR: Kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu, meskipun negara mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan.


Difahamkan, ketika ini graduan baharu kejuruteraan hanya menerima bayaran kurang RM2,500 sebulan, bukan gaji lumayan seperti yang dipercayai masyarakat.


Kadar gaji itu pula hanya ditawarkan di bandar besar seperti di Lembah Klang, di mana permintaan pasaran adalah tinggi manakala kadar gaji di kawasan bukan bandar besar adalah lebih rendah.


Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Megat Johari Megat Mohd Noor, berkata universiti tempatan menghasilkan kira-kira 10,000 graduan kejuruteraan setiap tahun dan bilangannya meningkat saban tahun.


Bagaimanapun katanya, industri di Malaysia tidak melihat kemahiran sebagai satu nilai yang berharga untuk dibayar, menjadi punca bidang kejuruteraan negara masih tidak meningkat ke tahap yang sepatutnya.


“Industri tidak melihat kepada kemahiran dan mereka lebih berminat mendapatkan tenaga luar seperti dari negara jiran yang akan menerima apa saja tawaran.


“Industri juga berasakan graduan kejuruteraan tidak bersedia untuk membuat kerja, tetapi tidak mahu melabur untuk memberi latihan dan pengalaman yang betul.


“Keadaan ini menyebabkan taraf gaji jurutera negara hari ini dalam keadaan tertekan kerana industri tidak berusaha untuk meningkatkan tahap kemahiran jurutera,” katanya kepada BH.


BH difahamkan, graduan kejuruteraan ditawarkan gaji sekitar RM2,500 dan hanya akan menikmati kenaikan setaraf selepas lima tahun.


Mereka yang ditawarkan jawatan pembantu jurutera pula hanya akan menerima gaji sekitar RM1,800 meskipun mempunyai kelayakan setaraf.


Bagi sektor awam, gaji Gred J41 adalah RM2,529 untuk jurutera awam manakala RM2,360 bagi jurutera mekanikal dan jurutera elektrik.


Bagaimanapun, kadar gaji permulaan itu boleh mencecah maksimum RM9,000 dengan kadar kenaikan gaji tahunan sebanyak RM225.


Megat Johari berkata, industri hari ini juga terlalu memilih dalam mendapatkan tenaga kerja baharu dan kebanyakan majikan memilih mengambil tenaga kerja luar, sehinggakan graduan kejuruteraan tempatan sukar mendapatkan pekerjaan.


Beliau berkata, situasi ini menyebabkan ramai graduan kejuruteraan bertindak ‘lari bidang’ dengan memilih pekerjaan lain, atau bersaing untuk mendapatkan tempat dalam perkhidmatan kerajaan yang menjanjikan imbuhan gaji yang lebih tinggi.


“Kita tiada masalah menghasilkan graduan kejuruteraan tetapi industri hari ini tidak berkembang pesat seperti yang dijangkakan dan ia diburukkan lagi kerana ada majikan yang mengambil kesempatan daripada situasi ini,” katanya.

Syarikat tidak percaya bakat jurutera tempatan

Lebih 90 peratus syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan di negara ini tidak mempercayai kemampuan bakat tempatan, sekali gus menyebabkan ramai jurutera dan graduan kejuruteraan tidak menerima pengiktirafan dan gaji setaraf.


Situasi itu menyebabkan pembangunan kejuruteraan negara berada dalam tekanan kerana industri ketika ini lebih menggemari kepakaran dan teknologi luar, khususnya dari negara jiran, berbanding tenaga tempatan.


Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) mendapati lebih 5,000 syarikat kejuruteraan ketika ini tidak mahu terbabit dalam program pembangunan jurutera, termasuk bidang penyelidikan.


Akibatnya, sektor perindustrian negara tidak membangun pada tahap yang sepatutnya, meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan untuk mencapai tahap negara maju.


BH dimaklumkan, syarikat kejuruteraan di Malaysia ketika ini tidak berminat untuk melabur dalam meningkatkan kemahiran bakat kejuruteraan tempatan, sebaliknya hanya menggunakan penyelidikan serta kepakaran sedia ada atau dari luar negara.


Keengganan industri untuk memberi upah yang setimpal kepada bakat tempatan menyebabkan gaji jurutera di Malaysia jauh lebih rendah, berbanding di negara lain dan tidak sepadan dengan tahap kemajuan negara.


Ahli Lembaga LJM, Megat Johari Megat Mohd Noor, berkata Malaysia mempunyai ramai bakat tempatan dan program pendidikan kejuruteraan juga amat setanding dengan negara maju.


Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak seimbang dengan tahap kejuruteraan negara masa kini sehingga memberi kesan terhadap pembangunan beberapa industri negara.


“Kira-kira 6,000 syarikat kejuruteraan ada di negara ini, tetapi hanya 600 sahaja yang melaksanakan kerja penyelidikan.


“Ribuan syarikat lain pula melakukan pelbagai jenis projek, tetapi mereka tidak mahu melabur dalam meningkatkan taraf bakat tempatan.


“Situasi ini memberi kesan kepada negara dan boleh dikatakan implikasi itu sudah mula dirasai, kerana industri hari ini dilihat lebih memberi peluang kepada kepakaran dari luar seperti Singapura.


“Mereka mewujudkan kilang di sini, tetapi bila mahu menggunakan kejuruteraan dan teknologi baharu, mereka ke negara jiran itu,” katanya kepada BH.


Megat Johari berkata, perkembangan itu menyebabkan Malaysia sukar mencapai status negara maju.


Katanya, Singapura sebelum ini memacu kemajuan dengan mewujudkan pembangunan dan pembinaan yang hebat, tetapi kini menumpukan kepada bidang penyelidikan seperti pelan memulihara bangunan sedia ada.


“Mereka melakukan perkara ini apabila sedar kepentingan penyelidikan kejuruteraan,” katanya.


Megat Johari yang juga Pengerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan Malaysia (EAC) menjelaskan, bakat kejuruteraan negara sememangnya cemerlang tetapi imej yang ada pada hari ini tidak meletakkan mereka di tahap sepatutnya.


“Bakat kejuruteraan kita bertaraf dunia kerana sistem pendidikan kita adalah yang terbaik ditawarkan kepada pelajar malah jika di luar negara, pelbagai pengiktirafan kita terima. Jika jurutera kita ke luar negara, mereka juga diterima baik.


“Tetapi di Malaysia hari ini, bidang kejuruteraan tidak mengalami perubahan dalam sistem kerja dan ini boleh dilihat dengan pembayaran gaji kepada jurutera kita yang tidak tinggi,” katanya.



66 views
bottom of page