top of page

ECRL: Selesai percanggahan baru umum keputusan - MB Terengganu


KUALA NERUS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, perlu menyelesaikan percanggahan pendapat berkaitan isu penamatan kontrak pemaju Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diputuskan Kabinet.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kedua-dua mereka perlu menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul sebelum mengumumkan keputusan mesyuarat Kabinet kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan.


“Saya difahamkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ada mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan kontrak pemaju ECRL namun Menteri Kewangan pula menyatakan tidak tahu mengenai hal itu.


“Mereka perlu selesaikan apa juga percanggahan pendapat sebelum memaklumkannya kepada rakyat. Saya percaya komunikasi dalaman antara kedua mereka sangat penting dalam hal ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jersi Persatuan Bola Sepak Terengganu (TFC), di sini, malam tadi.


Semalam, Azmin dilaporkan mengumumkan pembatalan projek ECRL yang diterajui China Communication Construction Group Ltd (CCCC) kerana kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan projek itu yang menjangkau RM500 juta.


Bagaimanapun, Guan Eng menyatakan beliau terkejut dengan kenyataan Azmin dan memaklumkan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mungkin tidak tahu keputusan mesyuarat Kabinet.


Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah menyuarakan bahawa projek ECRL ini mampu menjadi pemangkin ekonomi rakyat terutamanya di sepanjang laluan kereta api berkenaan.


“Dalam konteks Terengganu, kita melihat projek berkenaan mampu membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan industri sepanjang laluannya di negeri ini.


“Bagaimanapun, kerajaan negeri sedar bahawa pelaksanaan projek ini membabitkan belanja yang sangat besar namun kerajaan pusat wajar mempertimbangkan untuk meneruskannya dalam skala kecil,” katanya.



27 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page