top of page

Citaglobal raih kontrak kerja berkaitan KVDT 2, RM261 juta


Landasan Berkembar Elektrik 2 Lembah Klang (KVDT 2)
Gambar hiasan: Landasan Berkembar Elektrik 2 Lembah Klang (KVDT 2)

KUALA LUMPUR: Citaglobal Bhd, dulunya dikenali WZ Satu Bhd memperoleh kontrak kerja berkaitan projek Landasan Berkembar Elektrik 2 Lembah Klang (KVDT 2) bernilai RM261 juta daripada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA).


Ia diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd.


Bagi kontrak itu, skop kerja Citaglobal adalah termasuk membekal, menghantar, membina, menyiapkan dan menyelenggara jambatan, pembetung, saliran dan pagar yang adalah sebahagian daripada projek KVDT 2.


Citaglobal dalam satu kenyataan berkata, kontrak itu akan bermula pada 1 Jun 2023 dan akan disiapkan dalam tempoh 36 bulan dari tarikh permulaan pelaksanaan.


Ia berkata, dengan itu, buku tempahan sedia ada Citaglobal akan meningkat kepada kira-kira RM1.0 bilion.


Katanya, pemerolehan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak.


"Kami amat bersyukur kerana memenangi kontrak ini dan memainkan peranan dalam pembinaan KVDT 2.


"Kami akan turun padang dan berusaha untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.


"Kontrak ini juga meningkatkan buku tempahan Citaglobal menghampiri paras RM1bil, yang mana mengukuhkan lagi kejelasan pendapatan syarikat," kata Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal dan pemegang saham utama, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria.


Projek KVDT 2 ialah usaha pemulihan rel yang meliputi 265 kilometer rangkaian landasan berkembar elektrik di Lembah Klang.


Ia meliputi laluan dari Salak Selatan ke Seremban, dan dari Simpang Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Klang.


DMIA ialah kontraktor utama KVDT dan kini menjalankan projek KVDT 2 dengan usaha sama Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.


Sumber: Berita Harian

bottom of page