top of page

Citaglobal jangka 'berita baik' daripada projek ECRL


Citaglobal Bhd
Gambar hiasan: Citaglobal Bhd

BANGI: Citaglobal Bhd menjangkakan lebih banyak berita yang 'lebih positif' terhadap pembentangan idea projek bekalan kuasa Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui konsortium dengan Reneuco Bhd dalam beberapa bulan akan datang, kata Pengerusi Eksekutif dan Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.


Beliau berkata, konsortium sedang memuktamadkan pembentangan dan perincian projek itu dengan pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).


"Ia masih dalam proses lagi. Sepatutnya ia bagus," katanya kepada pemberita selepas pelancaran sistem storan tenaga bateri (BESS) pertama di Malaysia untuk tenaga boleh diperbaharui di sini, hari ini.



Pelancaran itu mempamerkan prototaip BESS satu megawatt (MyBess) yang beroperasi sepenuhnya, dibangunkan dan dikendalikan pada Disember 2022 dan pada masa ini menyokong keperluan tenaga di loji Genetec Technology Epic.


Mohamad Norza berkata demikian ketika diminta mengulas pembentangan idea berkenaan yang dianugerahkan secara eksklusif kepada konsortium bagi memastikan keselamatan bekalan kuasa kepada keseluruhan infrastruktur, termasuk untuk permintaan segera yang mungkin timbul daripada pembangunan kemudahan perindustrian di sepanjang laluan itu.


Sistem BESS telah dibangunkan oleh Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dibentuk oleh Citaglobal Bhd dan Genetec Technology Bhd.


Perjanjian kerjasama mereka secara eksklusif telah diformalkan pada 6 Oktober 2022, untuk membangunkan sistem pengurusan storan tenaga bateri bagi menyimpan dan mengurus kuasa berlebihan semasa penjanaan tenaga boleh diperbaharui.


Mohamad Norza, yang juga Pengerusi Citaglobal Genetec BESS, berkata BESS akan dimasukkan dalam cadangan bekalan kuasa untuk ECRL.


"Ini adalah sebahagian daripada apa yang kami lakukan mulai sekarang kerana kami telah melabur dalam produk ini bersama rakan kongsi kami, Genetec, dan kami pasti mahu mencari tempat untuk mempamerkan produk buatan Malaysia yang pertama," tambahnya.


Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Genetec Technology, Chin Kim Weng, berkata kedua-dua pihak sedang berbincang dengan ramai pelanggan yang berpotensi untuk produk itu.


"Apa yang saya dapat saksikan sekarang, ialah potensinya sangat besar. Kami akan bermula di rantau ini terlebih dahulu dan menyesuaikannya dengan pentas global sebaik sahaja kami bersedia," tambah beliau.


Penyelesaian hujung ke hujung Citaglobal Genetec BESS terdiri daripada struktur dan pengurusan serta subsistem penukaran kuasa Bess, yang sangat sesuai untuk menyokong sumber tenaga boleh diperbaharui yang berbeza seperti solar, angin dan hidro.


Sumber: Berita Harian


35 views
bottom of page