top of page

China gesa kemajuan lebih pantas projek HSR bernilai bilion dolar


China gesa kemajuan lebih pantas projek HSR bernilai bilion dolar
China menjuarai rangkaian kereta api Asia Tenggara berkelajuan tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’. - Foto AGENSI

China gesa kemajuan lebih pantas projek HSR bernilai bilion dolar

BEIJING: China dan Thailand diminta mempercepatkan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang dirancang menghubungkan dua negara itu, kata Menteri Luar China, Wang Yi semalam, dalam usahanya mempertingkat rangkaian di peringkat Asia Tenggara.


Wang tidak memperincikan mengenai tempoh masa, namun kerajaan Thailand pada masa ini menjangkakan laluan sepanjang 873 kilometer (km) di Thailand akan beroperasi pada 2028.


Di bawah inisiatif 'Belt and Road', pelan perdagangan dan infrastruktur global yang digagaskan Presiden China, Xi Jinping, Beijing mendorong rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan bandar Kunming di barat daya China hingga ke selatan Singapura.


Pelan itu membabitkan tiga laluan bermula dari Kunming melalui Myanmar, Thailand dan Vietnam, kemudian bergabung di Bangkok.


Pembinaan bahagian di Thailand yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai 'perangkap fiskal' telah ditangguhkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini atas sebab tertentu termasuk perkongsian kos sehingga kepada COVID-19.


Thailand dan China wajar menggalakkan pelaksanaan awal konsep ketersambungan China-Laos-Thailand, Kementerian Luar China memetik Wang memberitahu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Bangkok.


Menurut Thailand, pembinaan fasa pertama dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima sudah siap lebih 15 peratus dan perlu beroperasi menjelang 2027.


Bahagian kedua sepatutnya siap menjelang 2028.


Projek di bahagian Thailand telah ditangguhkan pada 2016 apabila Bangkok menolak pembiayaan China, apa yang disifatkan sebagai kadar faedah yang tinggi.


Ia kemudian bersetuju untuk menanggung keseluruhan kos pembinaan sebanyak 179 bilion baht (RM23.8 bilion) untuk fasa pertama sejauh 252km, dengan China bertanggungjawab ke atas pemasangan sistem, reka bentuk dan perolehan kereta api.


Fasa kedua menghubungkan Nakhon Ratchasima ke wilayah Nong Khai, yang bersempadan dengan Laos dan akhirnya akan terus ke China.


Gambaran bagi bahagian yang menghubungkan Bangkok dengan Malaysia dan Singapura masih tidak jelas, berikutan Kuala Lumpur menghentikan rancangan itu sebelum ini.



China gesa kemajuan lebih pantas projek HSR bernilai bilion dolar

bottom of page