top of page

Projek HSR, LRT perlu disegerakan - MB Johor


Projek HSR, LRT perlu disegerakan - MB Johor
Gambar hiasan

Projek HSR, LRT perlu disegerakan - MB Johor

ISKANDAR PUTERI - Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan transit aliran ringan (LRT) di Johor Bahru, perlu dilaksanakan segera.


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor Bahru kini merupakan destinasi pelaburan utama di rantau Asia yang memacu pertumbuhan negara.


"Susulan pengumuman kerajaan terhadap penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) dan zon kewangan khas (SFZ) Forest City, projek HSR dan LRT dirasakan perlu dilaksanakan segera di bandar raya Johor Bahru.


"Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan diharap akan memberi perhatian kepada permohonan projek HSR dan LRT di Johor Bahru," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, pada Khamis.


September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan berbincang bersama Singapura selepas kerajaan memutuskan langkah ke hadapan projek HSR apabila permohonan maklumat (RFI) dimuktamadkan.


Mengikut perancangan asal, jajaran terdahulu HSR akan terdiri daripada tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri, sebelum trek dari Kuala Lumpur sampai di destinasi terakhir di Jurong East, Singapura.


Jarak keseluruhan jajaran rel itu pada awalnya dirancang sejauh 350 kilometer, iaitu 335 kilometer di Malaysia dan 15 kilometer di Singapura.


Projek terdahulu menyasarkan untuk menyediakan masa perjalanan paling singkat antara dua bandar raya itu, kepada hanya dua jam setengah, termasuk masa ke stesen HSR dan proses imigresen.


Mac lalu pula, kerajaan dilaporkan sedang menimbang cadangan pembinaan jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi menyelaras sistem pengangkutan lebih baik di Johor Bahru.


Anthony Loke dilaporkan berkata, sebuah syarikat swasta telah mengutarakan cadangan bagi membina LRT berkenaan.


Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, pengumuman SEZ dan SFZ Forest City adalah katalis kepada pembangunan negeri, selain meneruskan penumpuan kepada sektor-sektor yang telah memacu pertumbuhan ekonomi.


"Insya-ALLAH, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Singapura dan kerajaan Malaysia berkaitan dua zon khas itu akan ditandatangani pada 11 Januari nanti.


"Kerajaan Johor berharap dan akan berusaha supaya perjanjian ditandatangani selewat-lewatnya enam bulan dari tarikh berkenaan dan pelaksanaannya pada awal tahun 2025," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Projek HSR, LRT perlu disegerakan - MB Johor

bottom of page