KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menyemak semula dan menyeragam harga ambang minimum kepada RM600,000 di semua negeri untuk menarik warga asing melabur dalam pasaran hartanah tempatan.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group Bhd, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata kerajaan turut dicadangkan supaya memasukkan lebih banyak dasar menarik dalam Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan Program Visa Premium (PVIP) dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan bulan depan, agar negara lebih berdaya saing menggalakkan lebih ramai warga asing yang layak menetap serta melabur di Malaysia.
"Di bawah MM2H, kami mengharapkan kerajaan mempertimbangkan cadangan mengurangkan pendapatan minimum, kecairan aset dan deposit tetap berbanding nilai ambang yang tinggi ketika semakan pada 2021.
"Kerajaan wajar mewujudkan kelas permohonan yang berbeza yang disesuaikan untuk pelbagai pemohon asing dan semua pemegang pas MM2H sedia ada tidak boleh dipengaruhi oleh peraturan baharu, selain tempoh pas MM2H kekal pada 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan langkah selanjutnya untuk mempercepatkan pemulihan industri hartanah tempatan yang dilihat memberi kesan meluas kepada ekonomi Malaysia secara menyeluruh.
Katanya, antara yang turut perlu dipertimbangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 adalah menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan Skim Pembiayaan Dipertingkatkan untuk pembeli kediaman pertama yang dilihat langkah strategik memandangkan industri hartanah menyediakan kesan pengganda ketara ke atas lebih 140 industri lain.
"Kerajaan dicadangkan menghidupkan semula HOC kerana insentif yang ditawarkan di bawah kempen ini terbukti penting dalam membantu pembeli rumah memiliki kediaman, selain dapat mengurangkan jumlah unit yang tidak terjual seperti pengecualian duti stem sepenuhnya untuk hartanah berharga RM300,001 hingga RM1 juta.
"Selain itu, (cadangan) adalah menawarkan Geran Pembeli Rumah Kali Pertama secara 'one-off' sebanyak RM30,000 untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 dan/atau mengaktifkan semula program Skim MyHome kepada pembeli yang layak.
"Bagi semua pembeli, kami mencadangkan tempoh pinjaman maksimum kepada 40 tahun dan merujuk kepada pendapatan kasar, bukannya pendapatan bersih ketika semakan permohonan pinjaman," katanya.
Hoy Kum berkata, kerajaan juga disyorkan menawarkan pengecualian cukai ke atas faedah yang ditanggung semasa pembinaan, di mana langkah itu adalah ideal untuk mempromosikan pemilikan kediaman dengan menawarkan penjimatan cukai langsung kepada pembeli.
Bagi menyokong pemulihan pemaju hartanah, beliau berkata, pengecualian atau pengurangan duti ke atas bahan binaan sehingga harga kembali normal wajar dipertimbangkan.
"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menarik balik cukai dan levi yang dikenakan ke atas bahan binaan yang diimport.
"Kami juga berharap kerajaan akan terus memperluaskan pembangunan bangunan hijau dan mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan geran kecil kepada pemaju hartanah bagi menggalakkan peserta industri untuk memasukkan lebih banyak ciri hijau dan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar ke dalam pembangunan mereka.
"Langkah ini akan menyumbang kepada matlamat menjadi negara neutral karbon menjelang 2050," katanya.
Mah Sing turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan insentif kepada pemaju hartanah yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Model Bangunan Bermaklumat (BIM) dalam pembangunan projek terutama membabitkan komponen mampu milik.
"Ini akan menggalakkan lebih ramai pemaju hartanah untuk mengguna pakai IBS dan BIM, menghasilkan pembangunan berkualiti tinggi, mengurangkan pergantungan buruh, meningkatkan kekemasan tapak dan meningkatkan produktiviti," tambah Hoy Kum.
Sumber: Berita Harian
Cadang harga rumah minimum RM600,000 untuk warga asing
留言