Kepala Batas: Bertam Resort and Water Park bakal mempunyai 16 unit vila yang kerja pembinaanya akan bermula bulan hadapan.
Membabitkan kos sekitar RM7 juta, vila mewah itu dibangunkan dengan konsep penjagaan kesihatan bagi tetamu yang mendapatkan rawatan di Pulau Pinang.
Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohammed Iqbal S Habeeb Noohu berkata, vila itu akan mengambil masa antara enam ke sembilan bulan untuk disiapkan.
"Ini adalah pembinaan fasa ketiga selepas fasa pertama membabitkan taman tema air dan fasa kedua membabitkan 300 unit bilik penginapan mendapat sambutan menggalakkan sejak mula beroperasi akhir tahun lalu.
"Seperti sedia maklum, projek pembinaan Bertam Resort and Water Park ini sudah terbengkalai selama 13 tahun tetapi kita berjaya juga selepas pelbagai halangan," katanya pada Majlis 'An Evening In Casablanca' sempena pembukaan resort, di sini, kelmarin.
Majlis gilang gemilang itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Dalam majlis itu, Ahmad Fuzi turut menyerahkan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada pengurusan resort kerana memiliki kolam renang terpanjang dalam sebuah bilik hotel serta penyerahan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Mohamed Iqbal berkata, bagi fasa pertama dan kedua pihaknya membuat pelaburan RM90 juta bagi membangunkan taman tema air dan bilik penginapan berkonsepkan seni bina Maghribi.
"Kami juga baru menerima pengiktirafan hotel lima bintang dua minggu lalu yang ia menjadi perangsang untuk kami memberikan perkhidmatan lebih baik kepada semua tetamu serta peluang meningkatkan perniagaan," katanya.
Jelasnya, secara purata pihaknya merekodkan kehadiran sehingga 15,000 pengunjung pada setiap bulan sejak beroperasi dengan pengunjung datang dari Kedah dan Perlis terutamanya pada hujung minggu.
Sumber: Harian Metro
Bina 16 vila mewah bernilai RM7 juta
Comentários