top of page

Bina Darulaman rancang bangunkan projek kediaman bertingkat di Sungai Petani, Kulim


Bina Darulaman Bhd (BDB)

KUALA LUMPUR 30 Mei - Bina Darulaman Bhd (BDB) sedang meneroka peluang untuk membangunkan projek kediaman bertingkat di Sungai Petani dan Kulim sebagai langkah mengambil kesempatan limpahan ekonomi Pulau Pinang.


Pengarah eksekutif kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, kumpulan itu akan menjalankan penyelidikan menyeluruh untuk menentukan permintaan sebelum meneruskan rancangan berkenaan.


"Buat masa ini, terdapat permintaan di Sungai Petani dan Kulim disebabkan limpahan ekonomi dari Pulau Pinang. 


"Bagaimanapun, di Alor Setar, kami perlu melakukan penilaian pasaran," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-29 BDB di Raia Hotel di sini hari ini.


BDB kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM281,000 bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding rugi bersih sebanyak RM7.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan 44% lebih tinggi daripada bidang kejuruteraan, pembinaan & kuari (ECQ).


Shahreen berkata, kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap prospeknya di tengah-tengah ketidakpastian pasaran, menekankan kelestarian dan prinsip persekitaran, sosial, dan tadbir urus (ESG).


"Syarikat memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ketahanan rantaian bekalan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, dan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk meletakkan dirinya dengan baik untuk pertumbuhan masa depan," katanya.


Beliau berkata, segmen ECQ dijangka mendapat manfaat yang ketara daripada peruntukan yang mencatat rekod untuk pembangunan infrastruktur dalam Bajet 2024, terutamanya melalui inisiatif besar seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim dan projek infrastruktur air semasa di Kedah.


"Sektor hartanah akan mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan yang menyokong perumahan mampu milik. 


"Projek strategik kami di daerah-daerah yang ramai penduduk meletakkan kami dengan baik untuk memanfaatkan peluang ini. Dalam segmen rekreasi, usaha sama kami dalam pembangunan ekopelancongan di Langkawi sejajar dengan sasaran Tourism Malaysia.


"Kerjasama kami dalam sektor RE, termasuk projek solar dan biojisim, sejajar dengan matlamat kelestarian Malaysia, membentangkan peluang perniagaan baru dalam pasaran kediaman, komersial, dan industri," katanya.


Sumber: Dagang News


Commenti


bottom of page