top of page

Bidaan projek HSR lonjak saham BLand, IJM, MRCB


Bidaan projek HSR lonjak saham BLand, IJM, MRCB
Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR)

Bidaan projek HSR lonjak saham BLand, IJM, MRCB

KUALA LUMPUR: Saham Berjaya Land Bhd (BLand), IJM Corporation Bhd (IJM Corp) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di Bursa Malaysia melonjak dalam sesi dagangan hari ini berikutan pengumuman penubuhan konsortium bersama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk membida projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR).


Pada jam 11 pagi tadi, saham BLand naik satu sen atau 2.2 peratus kepada 46 sen, saham IJM meningkat satu sen atau 0.45 peratus kepada RM2.24 dan saham MRCB menokok lima sen atau 0.77 peratus kepada 66 sen.


Jumaat lalu, BLand mengumumkan anak syarikat 70 peratus miliknya, Berjaya Rail Sdn Bhd, membentuk konsortium dengan anak syarikat IJM Corp iaitu IJM Construction Sdn Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk membida projek HSR KL-SG


Dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia, ahli-ahli konsortium itu berkata mereka telah menyerahkan cadangan konsep untuk permintaan maklumat (RFI) HSR pada 15 Januari 2024.

MRCB berkata, kesemua pihak akan membuat perjanjian muktamad sekiranya konsortium itu berjaya mendapatkan projek berkenaan.


Pada 15 Januari lalu, tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa dilaporkan telah menyerahkan cadangan konsep bagi projek HSR KL-SG kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).


Tujuh konsortium itu terdiri daripada 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek berkenaan.


Penyerahan cadangan konsep untuk projek HSR KL-SG itu adalah sebagai maklum balas kepada RFI yang dilancarkan oleh MyHSR Corp pada Julai 2023 dan tarikh akhir bagi penyerahan RFI adalah 15 Januari 2024.


Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman, berkata penemuan daripada penilaian RFI akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kabinet untuk pertimbangan.


"Sekiranya maklum balas positif, kami akan meneruskan ke fasa kedua dengan Permintaan Cadangan (RFP) untuk mendapatkan cadangan terperinci daripada konsortium terpilih," katanya dalam satu kenyataan.


MyHSR Corp melancarkan RFI bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura berdasarkan inisiatif kerjasama perkongsian awam swasta (PFI) mengikut model Reka Bentuk-Biaya-Bina-Kendali-Pindah (DFBOT).


Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.


Pada sesi taklimat awal projek HSR itu, MyHSR Corp sudah menyatakan secara jelas projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.



Bidaan projek HSR lonjak saham BLand, IJM, MRCB

bottom of page