top of page

Belanjawan 2024 buka peluang kontraktor kecil, sederhana


Belanjawan 2024 buka peluang kontraktor kecil, sederhana
Pelaksanaan projek berkesan memerlukan kontraktor serta pekerja binaan yang mahir - Foto Reuters

Belanjawan 2024 buka peluang kontraktor kecil, sederhana

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 memperuntukkan sebanyak RM72.7 bilion untuk pelaksanaan kerja-kerja pembinaan kerajaan, yang kebanyakannya meliputi projek penyelenggaraan dan baik pulih sekolah, kuarters, jalan persekutuan, tandas awam serta parit dan longkang.


Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, berkata projek terbabit akan membuka peluang kerja pembinaan untuk kontraktor kecil dan sederhana (G1 hingga G4) dan merancakkan lagi industri pembinaan negara.


Menyambut baik belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, beliau berkata CIDB bersedia menyokong aspirasi kerajaan dengan menyediakan peluang latihan daya saing kemahiran pembinaan kepada kontraktor, pekerja binaan dan belia secara percuma.


"Perlaksanaan projek-projek ini secara berkesan memerlukan kontraktor serta pekerja binaan yang mahir dan juga mempunyai daya saing yang diiktiraf.


"Oleh yang demikian, CIDB akan menyediakan latihan-latihan kemahiran yang diperlukan untuk perlaksanaan projek-projek yang tersenarai di dalam Belanjawan 2024. CIDB turut melaksanakan latihan pengurusan projek dan kewangan untuk kontraktor," katanya dalam satu kenyataan.


Mohd Zaid berkata, sejak 2000, CIDB telah melatih lebih daripada 400,000 pekerja mahir pembinaan dalam pelbagai bidang yang amat diperlukan industri dan seramai 99,000 penyertaan bagi Kursus Pengurusan Kontraktor direkodkan sejak 2014.


Beliau berkata, pada 2022, CIDB telah membelanjakan hampir RM30 juta untuk latihan belia dan pekerja binaan, menyaksikan seramai 3,742 belia dan 5,178 pekerja binaan telah mengikuti latihan kemahiran yang dijalankan oleh CIDB Malaysia.


Katanya, CIDB amat berbesar hati dengan peruntukan sebanyak RM10 juta oleh kerajaan bagi melaksanakan Program PEKA (Peluang Kedua Anda) TVET, iaitu program yang menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang akan mengakhiri tempoh hukuman.


"CIDB bersedia melaksanakan inisiatif ini yang mendokong salah satu prinsip utama MADANI iaitu mendorong kepelbagaian dan inklusiviti dalam tenaga kerja yang membabitkan masyarakat tempatan dalam projek pembinaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Belanjawan 2024 buka peluang kontraktor kecil, sederhana


62 views

Comments


bottom of page