BETONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bakal mengemukakan projek bernilai lebih RM800 juta di bawah agensi itu kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 13 Januari ini.
Pengerusinya yang juga Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah memuktamadkan senarai projek yang akan dikemukakan kepada Abang Johari.
“Kita sudah ada senarai projek, namun belum dapat diumumkan kerana kita akan kemukakan dahulu kepada Abang Johari.
“Semua barisan Adun dan ahli parlimen telah mengemukakan senarai projek yang meliputi semua aspek untuk melengkapkan apa-apa yang masih belum dibuat.
“Beberapa kawasan Dun masingmasing mencadangkan RM100 juta lebih dahulu.
“Ini bermakna kira-kira RM800 juta nilai projek yang akan kita kemukakan, yang difikirkan dapat dilaksanakan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu BDDA di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.
Jelasnya sesuatu projek misalnya jalan raya, perlu dibuat penjajaran, pampasan tanah, perancangan reka bentuk dan sebagainya.
“Atas sebab itu, kita belum mengemukakan penuh RM1.5 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak kepada BDDA,” ujarnya.
Tegas Uggah, dengan adanya agensi seperti BDDA yang diperuntukkan dana besar (RM1.5 bilion), senang untuk wakil rakyat merancang projek yang diperlukan, yang diharap dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Komitmen kita untuk memastikan semua projek pembangunan diatur dengan tersusun, sesuai matlamat untuk menjadikan rakyat di Bahagian Betong berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Dalam tempoh kurang 10 tahun lagi, tempoh masa yang dekat dan pasti banyak yang perlu dilakukan,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian
Comments