top of page

Bajet 2023: Projek HSA2 dijangka diluluskan


Bajet 2023: Projek HSA2 dijangka diluluskan Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Hospital Sultanah Aminah

Johor Bahru: Projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 di Kempas dijangka diluluskan dalam pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan Oktober depan.


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan menjadi keutamaan dalam bajet akan datang dan projek ini dalam senarai utama.


Katanya, selain pembinaan HSA2, Hospital Pasir Gudang juga dalam pembangunan bagi menampung kapasiti dua hospital sedia ada yang mencapai tahap 90 peratus.


"Kini lebih kurang 90 peratus tahap penggunaan (occupancy rate) di HSA dan HSI. (Kadar penggunaan) ini adalah agak tinggi untuk hospital awam.


"Hospital Pasir Gudang yang dalam pembinaan, telahpun siap 40 peratus dan dijangka siap November 2024. Saya akan memantau untuk memastikan dua projek hospital baru ini tidak mengalami kelewatan.


"Jadi, dengan kedua-dua hospital yang baharu ini iaitu Hospital Pasir Gudang yang sedang dibina dan HSA 2, kita akan tambah lebih 700 katil baru untuk kawasan bandar raya Johor Bahru dan kawasan-kawasan berhampiran.


"Ini akan dapat mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada terutamanya HSA dan yang lebih penting lagi akan dapat menampung keperluan kawasan bandar raya Johor Bahru yang sangat sangat padat ini," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Johor di Bandar Dato Onn, di sini hari ini.


Menurut Khairy, beliau dimaklumkan terdapat 2 juta orang dianggarkan tinggal di Johor Bahru.


Katanya angka itu tidak termasuk mereka yang datang dari daerah lain yang mahu menggunakan khidmat doktor pakar di bandar raya ini.



10 views
bottom of page