top of page

Aneka Jaringan, Samaiden teroka pasaran tenaga Indonesia


Aneka Jaringan, Samaiden teroka pasaran tenaga Indonesia Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Solar

KUALA LUMPUR: Aneka Jaringan Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd memeterai perjanjian usaha sama (JV) untuk menerokai pasaran tenaga Indonesia.


Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Samaiden berkata usaha sama itu akan mencipta aliran pendapatan baharu bagi kedua-dua syarikat melalui kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem fotovolta solar dan loji kuasa di Indonesia.


Usaha sama itu juga dijangka membolehkan Aneka Jaringan yang mempunyai kehadiran di Indonesia melalui anak syarikatnya, PT Aneka Jaringan Indonesia, menambah kepada rantaian nilainya dalam segmen yang berkembang pesat.


Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Chow Pui Hee, berkata Indonesia menyediakan potensi besar dalam bidang kepakaran syarikat, khususnya dalam tenaga boleh diperbaharui dan sistem PV solar.


"Kami melihat Aneka Jaringan melalui anak syarikatnya di Indonesia sebagai rakan kongsi sempurna yang mempunyai pengetahuan, rangkaian dan pengalaman tempatan yang boleh mempercepat dan menyokong pengembangan geografi kami," katanya.


Aneka Jaringan dan Samaiden masing-masing akan memegang kepentingan 45 peratus dan 50 peratus dalam syarikat usaha sama itu dan selebihnya akan dilanggan oleh rakan kongsi perniagaan Aneka Jaringan yang berpangkalan di Indonesia.


Samaiden, syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd, mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam projek Solar Skala Besar (LSS).


Sementara itu, Aneka Jaringan yang juga disenaraikan di Pasaran ACE mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam pembinaan bawah tanah dan asas.


Sumber: Berita Harian


4 views

Comments


bottom of page