top of page

Ali Baba dapat sokongan orang politik


Ali Baba dapat sokongan orang politik
Gambar hiasan

Ali Baba dapat sokongan orang politik

Boleh dikatakan amalan Ali Baba sudah menjadi sebati atau 'darah daging' dalam pelaksanaan sesuatu projek kerajaan. Amalan ini dikatakan mula berkembang apabila Dasar Persyarikatan Malaysia diperkenalkan pada 1980-an.


Dasar murni ini adalah satu sistem menterjemah kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta ke arah mencapai kemajuan negara dengan keuntungan diperoleh dikongsi bersama, menghapuskan sifat permusuhan antara kerajaan dan swasta serta bermatlamat meningkatkan hasil negara.


Menerusi dasar ini, banyak projek kerajaan diserahkan kepada pihak swasta demi memastikan ia dilaksanakan mengikut tempoh dan spesifikasi ditetapkan, menangani ketirisan dana kerajaan dan merangsang ekonomi negara.


Namun, hadir bersama dasar ini adalah amalan Ali Baba terutama apabila kerajaan ketika itu turut mengutamakan kontraktor Bumiputera dalam melaksanakan projek kerajaan. Ali Baba berlaku apabila syarikat Bumiputera terpilih, tidak mampu melaksanakan projek, lalu menyerahkannya kepada kontraktor kaum lain untuk meneruskannya.


Lama-kelamaan, amalan ini menjadi semakin meluas apatah lagi apabila semakin banyak syarikat Bumiputera baharu didaftarkan dengan disokong pemimpin politik, semata-mata mahu mendapat 'untung atas angin' apabila mendapat tender projek kerajaan.


Lantaran itu, muncul pula budaya baharu dalam proses pemberian tender iaitu amalan kronisme, nepotisme, monopoli, salah guna kuasa dan 'tenderprenuerisme'. Apabila amalan Ali Baba berleluasa, ia juga bererti membenarkan amalan rasuah terus wujud dalam masyarakat, urusan perekonomian dan tender kerajaan.


Atas sebab ini juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah lama mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan akta khusus bagi membolehkan tindakan dikenakan terhadap usahawan Ali Baba.


Undang-undang itu perlu diwujudkan bertujuan menghukum serta mendidik usahawan Bumiputera supaya lebih bertanggungjawab melaksanakan projek dianugerahkan kerajaan.


Walaupun begitu, amalan berlaku ini bukan disebabkan kelemahan dasar diwujudkan kerajaan, sebaliknya kecuaian dalam pelaksanaan dan pemantauan.


Maka, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mahu mewujudkan dasar anti-Ali Baba, sudah tentu masalah ini berada dalam poket beliau kerana boleh dikatakan amalan ini berleluasa pada era dirinya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum krisis pentadbiran 1998.


Justeru, belum terlewat bagi kerajaan menggubal undang-undang bagi menyekat amalan Ali Baba ini daripada terus menjadi kronik sehingga memudaratkan ekonomi negara dan menjejaskan imej kerajaan.


Apa yang diharapkan, apa juga dasar hendak dilaksanakan nanti ia perlu dipastikan tidak mengorbankan pula kontraktor Bumiputera, sebaliknya melahirkan kontraktor Bumiputera tulen mampu berdaya saing dan berdikari tanpa 'tongkat' kerajaan.


Sumber: Berita Harian


Ali Baba dapat sokongan orang politik


10 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page