Kontraktor G1 jangan amal konsep 'ali baba': Muhammad Sanusi


Muhammad Sanusi (dua dari kanan) membuat cabutan undi bagi Projek Marris dan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

ALOR SETAR - Kontraktor G1 di negeri ini dinasihatkan tidak mengamalkan konsep 'ali baba' atau menjual projek yang diperoleh kepada syarikat lain.


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu dapat menggalakkan pertumbuhan kontraktor yang asli di negeri ini.


Menurutnya, kualiti projek juga dapat ditingkatkan berbanding jika projek itu dijual kepada kontraktor lain atau dilaksanakan secara sub-kontraktor.


"Apabila projek berkenaan dilaksanakan sendiri mereka dapat menganggarkan jumlah modal dan untung yang akan diperoleh," katanya kepada media selepas majlis cabutan undi secara dalam talian bagi Projek Marris dan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika ini kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang peraturan yang tidak membenarkan pelantikan sub-kontraktor dibuat.


"Mereka boleh lantik tetapi pelantikan itu sudah jadi seperti jual. Tetapi kalau dia melantik sub untuk kerja yang dia kurang pakar, itu tak jadi masalah," katanya.


Terdahulu, sebanyak 413 projek berjumlah RM35.8 juta ditawarkan dalam majlis cabutan undi hari ini yang meliputi kerja-kerja jalan, bangunan dan elektrik.


Sementara itu dalam perkembangan lain, Sanusi menegaskan kerajaan negeri bersedia untuk mematuhi sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan oleh kerajaan Pusat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.


Ia termasuk kebersediaan kerajaan negeri menerima kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #kontraktor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.