top of page

81 pekerja binaan asing ditahan


81 pekerja binaan asing ditahan
Antara warga asing yang ditahan dalam Op Bersepadu Tapak Pembinaan di sebuah tapak binaan di Ulu Klang, Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

81 pekerja binaan asing ditahan

KUALA LUMPUR – Seramai 81 warga asing ditahan selepas didapati mempunyai kesalahan dalam dokumentasi perjalanan dan permit kerja dalam Op Bersepadu Tapak Pembinaan di sebuah tapak binaan di Ulu Klang, Ampang, di sini, hari ini.


Operasi itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).


DBKL dalam kenyataan berkata, pekerja pembinaan yang ditahan diperiksa secara menyeluruh berkaitan dokumentasi perjalanan dan permit kerja yang berkaitan.


“Pemeriksaan melibatkan 67 orang warga Bangladesh, 10 orang warga Indonesia, tiga orang warga Pakistan dan seorang warga Nepal oleh pihak JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di kawasan tapak pembinaan dibuat di bahagian dalam dan luar pembinaan bagi menentukan tahap kebersihan serta keselamatan.


Tambahnya, turut diperiksa permit kebenaran serta memastikan segala peraturan di tempat pembinaan senantiasa dipatuhi oleh kontraktor dan pemilik syarikat.


“DBKL mengeluarkan enam notis kompaun di dalam kawasan pembinaan melibatkan tiga notis kompaun di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.


“Dua notis kompaun dikeluarkan berikutan terdapat tempat pembiakan nyamuk hasil dari pemeriksaan bersama Pegawai Kesihatan JKAS DBKL melalui pungutan jentik-jentik di bawah kesalahan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.


“Satu notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 semasa pemeriksaan terhadap kenderaan berat yang tidak mempunyai permit mengangkut bahan binaan,” katanya.


Sementara itu, empat Surat Larangan dan empat Notis Arahan Keselamatan dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) kepada pemilik / pengendali di tapak pembinaan melalui Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994.


Sumber: Kosmo!


81 pekerja binaan asing ditahan

bottom of page