top of page

6 projek naik taraf di Ipoh bernilai RM3.46 juta diluluskan


6 projek naik taraf di Ipoh bernilai RM3.46 juta diluluskan
Gambar hiasan: Peruntukan tersebut turut membabitkan penggantian salur air di Dataran Niaga Taman Cempaka dan menaik taraf jalan termasuk kerja-kerja pelebaran di Persiaran Lapangan Siber 1, Bandar Seri Botani.

6 projek naik taraf di Ipoh bernilai RM3.46 juta diluluskan

IPOH - Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.46 juta bagi enam projek naik taraf kemudahan awam di kawasan Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur.


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2.46 juta disediakan oleh kementeriannya, manakala selebihnya merupakan peruntukan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).


Menurutnya, peruntukan tersebut membabitkan beberapa kerja menaik taraf infrastruktur termasuklah di Pasar Awam Kampung Simee di sini.


"Peruntukan yang diluluskan ini merupakan performance-based bajet atau peruntukan yang berlandaskan kepada perlaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan. Tidak ada pembaziran, ketirisan dan pemborosan.


"KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita di Pasar Awam Kampung Simee di sini selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Raya Ipoh pada Ahad.


Selain naik taraf pasar awam bernilai RM1 juta, peruntukan tersebut turut membabitkan penggantian salur air di Dataran Niaga Taman Cempaka dan menaik taraf jalan termasuk kerja-kerja pelebaran di Persiaran Lapangan Siber 1, Bandar Seri Botani.


Menurutnya, peruntukan tersebut turut digunakan menaik taraf Jalan Sungai Pari, Buntong, menaik taraf jalan serta kerja-kerja berkaitan di kawasan Rumah Pangsa First Garden, Silibin dan membina longkang baharu di Lorong Isaac, Buntong.


Jelasnya, kesemua projek berkenaan akan dimulakan pada Julai depan oleh MBI dan dijangka disiapkan seawal hujung tahun ini.



Pihak KPKT turut mengalu-alukan kehadiran francais ternama antarabangsa seperti Hard Rock Cafe untuk membuka cawangan di Ipoh bagi membantu merancakkan lagi pembangunan bandar raya berkenaan.


Sumber: Sinar Harian


6 projek naik taraf di Ipoh bernilai RM3.46 juta diluluskan


Comentários


bottom of page