top of page

2 hari sebelum kondominium runtuh, gambar kerosakan garaj didedahkan


KERETAKAN dinding konkrit menyebabkan lantai menjadi basah di dalam bilik peralatan kolam renang di kondominium Champlain Towers South, Miami, yang dirakam 36 jam sebelum kejadian runtuhan berlaku. -COURTESY

FLORIDA: Keadaan di kawasan lobi dan kolam renang di kondominium Champlain Towers South tiada apa yang luar biasa sebelum runtuhan berlaku awal pagi Khamis lalu.


Semuanya kelihatan bersih dan terjaga semasa kontraktor melawat bangunan setinggi 12 tingkat Selasa lalu, iaitu 36 jam sebelum kejadian runtuhan berlaku.


Namun, jangkaannya meleset apabila melihat keadaan garaj di tingkat bawah tanah.


Dia melawat bangunan itu minggu lalu bagi melakukan penyelenggaraan di kawasan kolam renang termasuk melakukan semula penilaian harga peralatan kolam renang baharu.


Dia yang sudah bekerja selama berpuluh tahun mengaku terkejut apabila melihat beberapa tempat di bangunan itu.


“Saya terkejut apabila melihat penyelenggaraan yang lemah di tingkat bawah tanah. Terdapat kesan air bocor di seluruh dinding garaj kawasan parkir.


“Jumlah air yang bocor di kondominium itu sangat luar biasa sehingga saya memaklumkan kepada seorang kakitangan bangunan yang menunjukkan keadaan sekitar,” katanya kepada akhbar The Miami Herald.


Dia pada mulanya menyangka ia hanyalah masalah kalis air dan perkara itu adalah biasa.


“Kakitangan bangunan memberitahu saya mereka sering mengepam bilik perlatan kolam renang sehingga bangunan itu perlu menggantikan motor pam setiap dua tahun sekali.


“Namun begitu, dia tidak pernah menyebut apa-apa kerosakan struktur atau keretakan konkrit yang berlaku,” jelasnya.


Di ruang peralatan kolam renang yang terletak di sebelah garaj bawah tanah, kontraktor itu melihat masalah lain berlaku.


Katanya, besi yang dipasang kelihatan terdedah dan menghakis di atas konkrit.


Dia kemudian mengambil gambar dan memberikannya kepada penyelia bersama catatan yang menyatakan kebimbangan mengenai pekerjaan itu akan menjadi lebih rumit daripada yang diharapkan.


“Saya bimbang sekiranya paip kolam itu harus dibuang bagi membolehkan kerja pembaikan konkrit dilakukan.


“Saya tertanya-tanya sekiranya masalah sama berlaku di bangunan bersebelahan dan menjadi punca runtuhan,” soalnya.


233 views

Comments


bottom of page