17 Kontraktor Bantu Baiki 244 Rumah Penduduk Rosak Akibat Ribut
- Ridhwanisme
- Oct 24, 2024
- 1 min read

CHUKAI: Sebanyak 17 kumpulan kontraktor turun padang hari ini melakukan kerja pembaikan 244 rumah penduduk di bandar ini yang rosak akibat ribut kencang dan hujan petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Bencana negeri, Hanafiah Mat, berkata tumpuan kini adalah membaiki kerosakan kediaman penduduk dengan segera.
Beliau berkata, sembilan kampung yang terjejas ialah Kampung Gong Pauh, Kampung Gong Limau, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Kubang Kurus, Kampung Bakau Tinggi, Kampung Jalan Dato', Kampung Besut, Kampung Tuan dan Kampung Besut 2.
"Kejadian ribut dan hujan batu yang berlaku kira-kira jam 4 petang semalam menyebabkan banyak atap dan bumbung kediaman penduduk diterbangkan angin serta ditimpa pokok, namun kita bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian ribut itu, selain rumah penduduk, tujuh sekolah dan bangunan kerajaan juga rosak pada bahagian atap dan siling.
Selain itu, papan tanda, pokok dan tiang elektrik turut tumbang yang merosakkan khemah perniagaan, manakala seorang penduduk, Mohd Firdaus Abu Hassan, 35, dari Manir, Kuala Terengganu, patah kaki kanan selepas bumbung wakaf di Pantai Teluk Mak Nik, runtuh ketika dia sedang berlindung di situ.
Hanafiah berkata, sebanyak 95 rumah penduduk di Kampung Gong paling banyak mengalami kerosakan bumbung, selain 40 rumah di Kampung Besut.
"Kita turut membuka sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan tujuh keluarga berikutan kediaman mereka tidak dapat diduduki.
"Pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut serta melakukan kerja pembersihan di kawasan kampung dan sekolah yang terjejas," katanya.
Sumber: Berita Harian
Yorumlar