top of page

JKR anggar kos baik pulih sekolah, bangunan akibat ribut RM4.1 juta


Kementerian Kerja Raya (KKR)
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika hadir hari ini meninjau kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan Setapak kesan daripada dilanda ribut pada 19 Mei lalu. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos RM4.1 juta untuk melaksanakan kerja baik pulih kerosakan 29 sekolah serta bangunan dua kementerian lain yang terjejas akibat hujan lebat dan ribut, Jumaat lalu.


Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerja pembaikan 29 sekolah sekitar Kuala Lumpur itu sahaja membabitkan kos RM3 juta.


"Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima laporan 15 sekolah mengalami kerosakan dan kemudian terdapat tambahan 14 lagi turut terjejas, menjadikan keseluruhannya 29 sekolah.


"Pembaikan akan segera dijalankan JKR menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan persekolahan tidak terganggu.


"Bagi kerosakan di Kementerian Pertahanan, lima unit kuarters dikenal pasti terbabit dan kerja pembaikannya dianggarkan menelan kos RM500,000.


"Akibat kejadian sama, bangunan Kedutaan Palestin juga rosak dengan kos pembaikan RM600,000 akan disalurkan oleh Kementerian Luar Negara (KLN)," katanya selepas meninjau kerosakan bumbung akibat ribut di Sekolah Kebangsaan Setapak di sini, hari.


Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika hadir hari ini meninjau kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan Setapak kesan daripada dilanda ribut pada 19 Mei lalu. - foto BERNAMA

Sabtu lalu, Alexander melaporkan sekurang-kurangnya 15 sekolah di ibu negara terjejas akibat hujan lebat serta ribut yang melanda di beberapa kawasan pada petang Jumaat.


Berdasarkan laporan yang diterima sekolah terbabit mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang.


Ia membabitkan tujuh sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pudu, PPD Keramat (enam), serta PPD Sentul (dua).


Alexander berkata, kerosakan juga berlaku di KKR dengan lima premis dan sebuah rumah terjejas akibat kejadian sama.


"Bagaimanapun kerja baik pulih itu sudah dijalankan JKR secara dalaman dan ia tidak membabitkan sebarang kos," katanya.


Sementara itu, Fadhlina memaklumkan, kerosakan bumbung di Sekolah Kebangsaan Setapak membabitkan lapan kelas yang membabitkan 70 murid.


"Sekolah ini mengalami kerosakan paling teruk berbanding sekolah lain. Selain lawatan ini, kita harapkan kerja pembaikan dapat disegerakan supaya pembelajaran murid tidak terjejas.


"Kerja baik pulih itu termasuk pembersihan, membaiki kebocoran bumbung dan pendawaian semula," katanya.


Sumber: Berita Harian


bottom of page