top of page

Sekolah diserang habuk, debu


Sekolah Kebangsaan (SK) Nilai Impian gusar selepas sekolah berkenaan 'diserang' habuk daripada projek pembangunan
PROJEK rojek pembangunan utiliti infrastruktur perumahan bersebelahan SK Nilai Impian. FOTO Ihsan pembaca.

Nilai: Ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nilai Impian, di sini, gusar selepas sekolah berkenaan 'diserang' habuk daripada projek pembangunan utiliti infrastruktur perumahan bersebelahan.


Akibat daripada habuk yang tidak terkawal itu, lebih 50 murid mengalami batuk dipercayai berpunca daripada projek berkenaan yang tidak ditutup dengan sempurna.


Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nilai Impian, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, maklumat itu diperoleh hasil tinjauan dilakukan terhadap murid beberapa hari lalu.


"Projek ini sebenarnya bermula dua tahun lalu. Namun ia tidak memberi kesan kerana murid tidak menjalani sesi pembelajaran di sekolah akibat penularan wabak Covid-19 ketika itu.

"Namun, sejak sesi persekolahan dibuka seperti biasa, kami mendapati ramai murid yang mengalami batuk dan ia dipercayai ada kaitan dengan projek bersebelahan sekolah," katanya ketika ditemui.


Md Fakarudin berkata, kesan debu dan habuk itu juga jelas kelihatan pada kenderaan, lantai, kerusi serta meja di kantin sekolah.


"PIBG sudah membuat aduan kepada pihak pemaju untuk diambil tindakan namun mereka dilihat tidak serius dalam menangani situasi ini.


"Baru-baru ini pemaju memasang kanvas bagi mengurangkan masalah debu dan habuk selepas menerima notis daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).


"Tapi agak mengecewakan apabila kanvas itu hanya disangkut pada pagar sekolah.


Sepatutnya mereka menutup kawasan sekeliling projek dengan lebih sempurna menggunakan zink seperti yang biasa kita lihat di tempat lain," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Nilai Impian.


Katanya, masalah itu turut memberi kesan kesihatan kepada penduduk di kawasan sekitar.


Katanya, mereka tidak menolak pembangunan tetapi setiap pemaju perlu lebih bertanggungjawab bagi memastikan projek yang sedang berjalan tidak memberi kesan kepada orang awam.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datu Masri Razali berkata, pihaknya pernah menerima aduan daripada orang awam mengenai masalah itu.


Susulan itu katanya, satu notis kacau ganggu dikeluarka pada 17 Mac lalu dan meminta pemaju mengambil tindakan menghentikan perkara itu.


"Saya difahamkan pihak pemaju sudah bertemu pengurusan sekolah bagi membincangkan perkara ini dan pemaju bersedia mengambil beberapa langkah.


"Antaranya memasang tirai atau penghadang bagi mengelakkan habuk berterbangan ke kawasan kantin sekolah dan menyiram air secara berkala di kawasan yang kering," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, pihak pemaju juga berjanji akan menempatkan seorang pekerja pembersihan di kawasan berkenaan bagi kerja membersihkan kawasan yang terjejas akibat projek itu.


"Pihak MBS akan memantau situasi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pihak pemaju dapat menghapuskan kacau ganggu seperti yang didakwa orang awam," katanya.


Sumber: Harian Metro


11 views

Comments


bottom of page