top of page

146 pemilik buntu, ada geran tetapi gagal bina rumah


146 pemilik buntu, ada geran tetapi gagal bina rumah
ANUAR (kiri) dan Anuar Mustakim menunjukkan kawasan lot Skim Tanah Rakyat tanpa kemudahan asas di Felda Tekam Utara, Jerantut baru-baru ini.

146 pemilik buntu, ada geran tetapi gagal bina rumah

JERANTUT – Tanpa kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan menyebabkan inisiatif penyediaan tanah lot Skim Tanah Rakyat (STR) di Simpang Y Felda Tekam Utara, di sini yang diberi lapan tahun lalu menjadi sia-sia.


Meskipun pemilik menerima geran hak milik tanah seluas 501.2 meter persegi sejak lapan tahun lalu, namun mereka tidak dapat membina rumah tanpa kemudahan asas berkenaan.


Difahamkan, pada 10 Februari lalu ada perbincangan dengan Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) negeri untuk pe­laksanaan projek perumahan tidak kesampaian kerana ketia­daan bekalan air, elektrik (cuma terdapat ibu sawat) dan jalan tar masuk ke kawasan tersebut.


Justeru seramai 146 pemilik STR terbabit merayu kerajaan negeri menyegerakan pembinaan kemudahan asas bagi membo­lehkan mereka membina rumah.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Tekam Utara, Mohd. Rashid Abbas, 63, berkata, dia hairan kenapa kerajaan ne­geri melewatkan pembinaan kemudahan asas itu sedangkan pemilik lot STR yang terdiri daripada generasi kedua Felda dan penjawat awam berpencen sudah merancang membina rumah.


“Pemilik sudah memiliki geran selepas pembayaran premium bernilai RM3,100 kepada kerajaan negeri lapan tahun lalu dan masing-masing sudah mencongak untuk bina rumah tetapi hampa apabila kemudahan asas tersebut masih tidak dibina.


“JPKK sudah dua kali mengutus surat kepada Pejabat Menteri Besar Pahang bagi tujuan menyegerakan pembinaan kemudahan asas di kawasan lot seluas 11.50 hektar ini, tetapi tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.


Seorang pemilik lot STR, ­Anu­ar Abdul Rahman, 60, berkata, isu tersebut menyebabkan dia terpaksa membatalkan pembinaan rumah di situ dan mengalih­kan ke tapak rumah milik ibu bapa­nya di Felda Sungai Tekam.


“Sepatutnya setelah meneri­ma geran hak milik, kerajaan negeri sudah melengkapkan kemudahan asas tersebut bagi ke­selesaan pemilik merancang pembinaan rumah,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi pemilik, Anuar Mustakim, 58, berkata, ia membantutkan pe­rancangan ramai generasi kedua Felda dan penjawat awam berpencen untuk membina rumah.


Sumber: Kosmo!


146 pemilik buntu, ada geran tetapi gagal bina rumah


Comments


bottom of page