KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempermudahkan urusan pecah geran bagi tanah 'lot lidi' atau lot kecil, sekali gus 'menghalalkan' pemilikannya dan dapat membantu rakyat memiliki tapak untuk pembinaan rumah sendiri yang selesa dengan kos berpatutan.
Pembelian tanah 'lot lidi', walaupun berisiko kepada pembeli, tetap menjadi pilihan kerana harganya lebih murah berbanding rata-rata kediaman ketika ini, terutama rumah bertanah yang disifatkan di luar kemampuan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
Gesaan itu antara yang disuarakan dalam reaksi terhadap laporan eksklusif BH semalam mengenai pembelian tanah 'lot lidi' yang disahkan menyalahi tiga undang-undang dan berisiko tinggi berhubung hak milik.
Laporan muka depan itu mendedahkan, walaupun menjadi kaedah mudah dan popular memiliki tapak untuk pembinaan kediaman pada masa ini, tanah lot kecil sedemikian jelas melanggar Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Pelanggaran undang-undang menyebabkan urusan jual beli tanah berkenaan tidak sah, termasuk struktur seperti kediaman yang dibina di atasnya berdepan risiko sukar dijual dan nama pembeli tidak boleh didaftarkan sebagai tuan punya tanah.
Malah, urus niaga lot lidi dengan tiada hak milik individu dan pindah milik kepada pembeli juga bertentangan dengan prinsip Sistem Torrens yang juga teras Kanun Tanah Negara.
Lot lidi merujuk penjualan lot tanah lebih kecil yang dipecah-pecahkan di atas sebidang tanah besar dan menurut Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), status lot lidi tidak sah dari segi undang-undang kerana tidak melalui proses pemajuan tanah, iaitu pecah sempadan.
Menerusi ruangan komen di Facebook Berita Harian Online semalam, sebahagian warganet menggesa kerajaan memudahkan urusan pecah geran tanah yang didakwa amat rumit selain memakan kos tinggi.
Kenakan sedikit bayaran
Seorang daripada mereka, Saed Ramli, berkata tindakan kerajaan memudahkan urusan pecah geran tanah milik individu kepada lot lidi dapat membantu rakyat memiliki tapak tanah dan rumah sendiri.
"Bantulah rakyat memilih dan memiliki rumah dan tapak tanah sendiri. Kerajaan boleh kenakan sedikit bayaran perkhidmatan pecah hak milik lot lidi itu. Bantu rakyat, jangan susahkan rakyat," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Deen Nie Alnurizzman, mencadangkan kerajaan dan pentadbir tanah menggubal semua undang-undang berkaitan isu berkenaan untuk memudahkan urusan rakyat.
"Kalau perkara itu (jual beli lot lidi) salah, gubal semula undang-undang untuk menjadikannya sah agar rakyat yang tak mampu, dapat miliki lot untuk bina rumah. Harga lot besar mahal, sepatutnya kerajaan perlu kaji undang-undang untuk memudahkan urusan rakyat," katanya.
Sementara itu, Mohd Zool Hilmi Mahsin dalam komennya, mendakwa Sistem Torrens yang digunakan dalam sistem pentabiran dan pendaftaran tanah di Semenanjung, sebagai menyusahkan.
"Sistem Torrens itu yang menyusahkan. Ini terjadi bila mana anak mewarisi tanah ibu bapa mereka. Nak pecah geran ingat senang dan murah ke, bukan semuanya ade duit dan prosesnya panjang," katanya.
Ada juga dalam kalangan warganet menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap penjual tanah lot lidi yang memperdaya dan menganiaya pembeli.
"Segerakan tangkap (penjual tanah lot lidi) bagi mengelakkan ramai lagi yang teraniaya. Kecelakaan bagi pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap pembeli," tulis Daniel Izham Hakim.
Sumber: Berita Harian
Comments