SEREMBAN: Ramai yang keliru dalam mengenali rumah klasik Negeri Sembilan. Kebiasaannya ia kerap disalah anggap sebagai reka bentuk rumah Minangkabau, sedangkan rumah Negeri Sembilan sebenarnya mendukung identiti tersendiri.
Justeru, tidak hairan apabila Kerajaan Negeri Sembilan gigih dalam memastikan bangunan warisan dan bersejarah terus dipertahankan.
Hal ini ditegaskan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menyediakan inisiatif khas dalam memastikan bangunan unik dan mempunyai nilai warisan tinggi kekal terpelihara.
Menerusi inisiatif khas berkenaan sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi membantu untuk memulihara bangunan dan rumah warisan di negeri itu.
Inisiatif itu dilakukan menerusi Projek Bangunan dan Rumah Warisan Negeri diperkenalkan mulai tahun lalu, bertujuan membaiki binaan bangunan dan rumah yang mempunyai nilai sejarah tinggi di negeri berkenaan.
"Sebanyak RM3 juta diperuntukkan pada tahun lalu dan ditambah sebanyak RM1 juta lagi pada tahun ini bagi merealisasikan projek itu.
"Setakat ini, sebanyak tiga rumah dan dua masjid dibaik pulih iaitu Masjid Warisan Kampung Terusan dan Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang di Kuala Pilah," katanya kepada BH.
Antara yang menerima inisiatif itu adalah Masjid Lama Kampung Terusan Kuala Pilah. Masjid tertua di Negeri Sembilan itu sudah berusia lebih 180 tahun.
Aminuddin berkata, dari segi sejarah masjid berkenaan dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung dengan arkiteknya adalah Datuk Siamang Gagap, iaitu tokoh tersohor di Negeri Sembilan.
"Antara ciri menarik yang terdapat pada masjid ini adalah jenang pintu yang rendah bertujuan supaya jemaah berjalan tunduk sebelum memasuki masjid sebagai tanda hormat.
"Kehalusan seni bina pada masjid ini terserlah sebagai warisan berharga di Negeri Sembilan," katanya.
Tambahnya, selain itu terdapat tiga buah rumah yang turut dibaik pulih menerusi usaha berkenaan iaitu Rumah Warisan Puan Noraini di Rembau, Rumah Warisan Puan Norlida di Kuala Pilah dan Rumah Warisan Puan Jalilah di Jelebu.
Aminuddin berkata, projek pemuliharaan itu dilaksanakan dengan kerjasama pakar dari Politeknik Port Dickson dengan mengutamakan keaslian binaannya.
Selain itu kontraktor yang terbabit dalam proses pemuliharaan akan menggunakan kaedah sama seperti digunakan tukang pada zaman dahulu bagi memastikan keaslian bangunan berkenaan.
"Kita mahukan keunikan seni bina bangunan ini kekal dan sebab itu khidmat mereka yang pakar digunakan.
"Projek ini juga sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan adat Perpatih selain memastikan binaan bangunan serta rumah yang mempunyai nilai sejarah tinggi di negeri ini dikekalkan," katanya.
Menerusi projek itu tegasnya, ia adalah testimoni jelas tanggungjawab memelihara dan memperkasakan adat Perpatih terutama dalam kalangan generasi muda. Apatah lagi ia adalah identiti penting negeri itu.
Katanya, selain usaha memartabatkan sejarah di Negeri Sembilan, pemulihan dan pemuliharaan bangunan serta rumah warisan negeri, tidak diabaikan kerana ia mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad, berkata sejarah rumah klasik Negeri Sembilan sebenarnya lebih dekat dengan rumah tradisional di Riau, Sumatera.
Katanya, jika dilihat dengan teliti reka bentuk rumah tradisional itu tidak sama dengan rekaan rumah Minangkabau dan ia sangat ketara pada bentuk bumbungnya.
"Rumah tradisional Negeri Sembilan mempunyai bumbung berbentuk panjang dan hanya lentik sedikit pada bahagian hujung.
"Rumah Minangkabau pula, secara jelas dilihat bumbungnya melentik seperti tanduk kerbau atau dikenali sebagai bumbung gondang," katanya.
Katanya, Istana Ampang Tinggi di Muzium Negeri, Seremban, adalah contoh jelas rumah tradisional Negeri Sembilan.
Shamsuddin berkata, rumah itu dibina pada abad ke-18 dan dimiliki oleh Allahyarham Tunku Syed Ismail iaitu anak ketiga kepada Datuk Klana Petra Syed Abdul Rahman Undang Luak Sungai Ujong dengan isterinya Cik Kundur Wan Jaebah.
Tambahnya, asal rumah itu terletak di Kampung Air Garam di Mambau (kini sudah tiada) pada kedudukan strategik berdekatan Sungai Linggi yang menjadi laluan pengangkutan utama ketika itu.
Ia kemudian dipindahkan ke Taman Tasik Seremban yang dulu dikenali sebagai Lake Garden pada awal 1990-an dan kini, rumah tradisional ini diletakkan di muzium negeri.
"Uniknya, ia pernah dibuka dan dipasang semula sekurang-kurangnya empat kali sejak kira-kira 150 tahun lalu dan rumah tradisional ini pernah dipamerkan lebih setahun di London, United Kingdom pada 1924.
"Rumah ini diangkat sebagai rumah contoh Negeri Sembilan dan diiktiraf sebagai Bangunan Warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 2013," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments