Wujudkan badan pengurusan air di Wilayah Persekutuan



PUTRAJAYA: Satu badan pengurusan air perlu diwujudkan segera di Wilayah Persekutuan bagi mengatasi masalah ketiadaan air yang kerap berlaku sehingga menjejaskan urusan harian penduduk setempat.


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, badan autoriti itu bukan sahaja berupaya membekalkan air bersih kepada pengguna bahkan mampu menguruskan sumber air sendiri termasuk air bawah tanah, sungai dan hujan.


Jelasnya, perkara itu adalah mustahak supaya dalam jangka masa panjang Wilayah Persekutuan tidak perlu lagi bergantung kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam pembekalan sumber air kepada pengguna.


“Di luar negara, ada perbadanan menguruskan air tasik dan sungai. Ini bukan soal Wilayah Persekutuan tiada air kerana di Putrajaya mempunyai banyak tasik, Kuala Lumpur mempunyai banyak sungai tetapi sumber air ini tidak diproses untuk tujuan bekalan air.


“Saya sudah maklumkan kepada kementerian dan perbadanan untuk melihat kepada teknologi-teknologi yang ada memproses air. Kalau di Singapura, terdapat sumber air dari sistem pembentungan yang boleh diproses sehingga mencapai tahap boleh digunakan untuk kegunaan harian manusia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Mengulas lanjut, beliau melihat pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mempunyai potensi yang baik dalam menyalurkan sumber air dari Pahang ke kawasan Lembah Klang dengan kos yang lebih rendah menerusi pembinaan terowong ECRL yang akan digali merentasi banjaran Titiwangsa.


“Kalau Wilayah Persekutuan sudah ada perbadanan sendiri sudah tentu boleh merancang termasuk membeli air mentah supaya kawasan bandar raya tidak lagi mengalami gangguan ketiadaan air,” jelasnya.


Beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Kabinet bagi melihat undang-undang serta akta-akta berkaitan secara lebih serius.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.