KUALA LUMPUR: Gentari, syarikat penyelesaian tenaga bersih global menjenamakan semula WIRSOL Energy, selepas memuktamadkan pengambilalihan penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui itu pada Februari lalu.
Gentari dalam satu kenyataan, berkata dengan penjenamaan semula, WIRSOL Energy kini akan dikenali sebagai Gentari Solar Australia.
"Ini (penjenamaan semula) menjadikan Gentari sebagai pemaju terkemuka dengan sistem penyimpanan tenaga solar dan bateri bersepadu (BESS) dan keupayaan pengurusan aset di pasaran tenaga boleh diperbaharui Australia," katanya.
Gentari Solar Australia kini mempunyai 422 MW dalam kapasiti dipasang kasar dan 765 MW dalam kapasiti berpotensi dalam rangkaian projek peringkat akhirnya.
Andrew Barson mengetuai firma itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya dengan mandat untuk mengembangkan kapasiti solar syarikat dan keupayaan BESS di Australia.
Antara projek yang diselia Barson adalah projek Maryvale Solar dan Projek Penyimpanan Tenaga di New South Wales dan projek Penyimpanan Tenaga dan Sloar Barnawartha di New South Wales di Victoria, dengan kedua-duanya projek itu dijangka mencapai FID dengan kapasiti gabungan lebih dari 500 MW tidak lama lagi.
Dengan tema 'memacu tenaga bersih', Gentari Solar Australia akan menjadi kunci dalam mencapai hasrat Gentari untuk mempercepatkan penggunaan tenaga bersih.
Gentari berkata, dalam jangka masa terdekat, syarikat itu akan memanfaatkan aset Australia sebagai blok bangunan untuk memacu pertumbuhan kapasiti solar berskala utiliti dan keupayaan penyimpanan bateri, ke arah meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran penjanaan kuasa Australia.
"Menuju ke hadapan, Gentari juga akan meneroka teknologi tenaga bersih lain termasuk Tenaga Angin di Australia," kata Ketua Pegawai Tenaga Boleh Diperbaharui Gentari, Low Kian Min.
Operasi Gentari semasa di Australia menambah 422 MW kapasiti dipasang kasar kepada portfolio tenaga boleh diperbaharui keseluruhan syarikat, menyertai lebih 1 GW kapasiti di Malaysia dan India.
Dalam tempoh jangka panjang, pertumbuhan Gentari di Australia dijangka menyumbang lebih daripada 5 GW, sejajar dengan matlamatnya menjelang 2030 untuk memiliki 30 hingga 40 GW di seluruh dunia, yang akan didorong terutamanya oleh aset operasi solar dan angin.
"Dengan kematangan pasaran Australia dan potensinya yang kukuh, ditambah pula dengan grid akses terbuka yang menawarkan pelbagai peluang disokong oleh dasar kerajaan dan ekosistem pembiayaan yang mantap, kami sedang meneroka peluang untuk mengoptimumkan sumber tenaga solar kami sambil meninjau penerokaan penjanaan angin dan teknologi lain bagi membekalkan tenaga hijau untuk pengeluaran hidrogen pada masa hadapan.
"Selain itu, kami juga berminat untuk membangunkan keupayaan komersial dan memantau peluang dalam mobiliti hijau di Australia," kata Kian Min.
Gentari kini mempunyai kumpulan bakat yang pelbagai di Australia, mengiktiraf keperluan untuk keupayaan yang luas dalam ruang tenaga bersih.
Di Australia, pasaran elektrik nasional sedang beralih dari penjanaan arang batu, yang kini merangkumi 66 peratus dengan stesen janakuasa sedia ada mencapai jangka hayatnya.
Kerajaan persekutuan negara terbabit telah menetapkan sasaran Tenaga Boleh Diperbaharui Berskala Besar (LRET) untuk mempromosikan penjanaan elektrik yang boleh diperbaharui, dengan sasaran menghasilkan 82 peratus elektrik negara menerusi tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.
Ia adalah sebahagian daripada sasaran ekonomi Australia untuk mengurangkan pelepasan sebanyak 43 peratus menjelang 2030.
Sumber: Berita Harian
WIRSOL Energy dijenama sebagai Gentari Solar Australia
Opmerkingen