Waspada bahaya elektrik ketika banjir



PUTRAJAYA - Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap bahaya elektrik ketika banjir dan mengambil langkah-langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca dari elektrik.


Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini menyatakan sebelum banjir, pengguna perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan mengubah suis utama kepada kedudukan ‘OFF’ serta memastikan semua suis turut dimatikan dan palam kuasa peralatan elektrik ditanggalkan.


"Simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir,” menurut ST.


Semasa banjir, seberapa boleh elakkan kawasan yang mempunyai talian elektrik terutamanya pada waktu malam di mana tahap penglihatan adalah kurang baik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian itu mudah disentuh.

Selain itu, jauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih aktif.


"Jangan pegang tiang elektrik atau dawai umbang semasa banjir atau hujan. Dilarang menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian," katanya.


Menurut suruhanjaya itu, apabila berada di luar rumah, jangan hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air.


"Jangan mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang, talian elektrik putus atau jatuh ke tanah, sebaliknya laporkan segera kepada pihak pembekal elektrik untuk tindakan pembaikan," katanya.


Selepas banjir, Suruhanjaya Tenaga menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila berada di kawasan yang terdapat kelengkapan dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air kerana berpotensi mendatangkan bahaya.


"Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa," menurut kenyataan ST.


Selain itu, pastikan semua kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa dan berada dalam keadaan kering dan baik sebelum digunakan dan elak menggunakan kelengkapan yang diragui keselamatannya.


Sebelum ‘ON’ suis utama, pengguna perlu memeriksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik dan ia hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan suruhanjaya itu. - Bernama


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #banjir

6 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.