top of page

Warga Indonesia larikan diri ketika ujian COVID-19 ditahan



SEPANG: Tiga lelaki warga Indonesia yang menghilangkan diri ketika menjalani ujian saringan COVID-19 di Pusat Kesihatan Sungai Pelek ditahan polis hari ini.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata tiga lelaki berkenaan berjaya dikesan atas maklumat orang awam ketika berada di tepi jalan berhampiran belukar di Semenyih, Kajang.


Bagaimanapun beliau berkata seorang wanita warga Indonesia yang menghilangkan diri bersama tiga lelaki berkenaan masih belum dijumpai.

Katanya, tangkapan itu diadakan pada jam 10 pagi dengan bantuan anggota polis Kajang dan Kementerian Kesihatan (KKM).


"Tiga warga Indonesia berumur antara 24 hingga 27 tahun itu dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussien Onn bagi menjalani ujian saringan COVID-19.


"Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke Pusat Kuarantin ILKAP Bangi untuk tindakan susulan KKM, manakala usaha mengesan wanita berkenaan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Rabu lalu media melaporkan empat pekerja warga Indonesia termasuk seorang wanita telah melarikan diri dari rumah kongsi di Sepang selepas menjalani saringan COVID-19.


Pada 13 Mei lalu syarikat kontraktor pembinaan jalan beralamat di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjalankan saringan COVID-19 terhadap 26 pekerjanya yang tinggal di rumah kongsi dan hasil ujian saringan seorang pekerja lelaki warga Indonesia dan dua pekerja warga Bangladesh disahkan positif COVID-19.


Mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.



11 views
bottom of page