Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui maut di sebuah tapak pembinaan di Jalan Wangsa Melawati 1, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.20 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak bersebelahan dengan rumah kongsi pekerja, kami dimaklumkan terdapat mayat seorang lelaki berusia 41 tahun ditemui di lokasi terbabit.
"Mayat mangsa ditemui rakannya dalam keadaan terlentang dengan kepala berlumuran darah dan mulut berbuih dipercayai diserang sawan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, tiada sebarang keterangan menunjukkan mangsa terjun dari bangunan terbabit serta tiada kecederaan fizikal luaran seperti patah.
Beliau berkata, punca sebenar kematian lelaki terbabit belum dapat dipastikan dan mayatnya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Sumber: Harian Metro
Yorumlar