
Kuching: Kenaikan harga bahan binaan memberi kesan buruk kepada pemain industri sekali gus menjejaskan projek pembangunan yang dirancang.
Justeru, bagi mengurangkan kesan yang dihadapi kontraktor, kerajaan Sarawak melaksanakan variasi harga (VOP) 2.0 bagi membantu menampung kenaikan harga bahan binaan.
Bantuan VOP 2.0 itu diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada sidang media khas Bantuan Khas Sarawakku Sayang 9.0 (BKSS 9.0) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.
Ia antara lima langkah yang dilaksanakan kerajaan Sarawak menerusi BKSS 9.0 dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion dalam usaha meringankan beban rakyat yang terjejas ekoran kenaikan kos sara hidup.
"Sebagai usaha ke arah mengurangkan beban yang dihadapi oleh kontraktor dan memastikan penyampaian projek kerajaan berterusan dalam masa sukar ini, kerajaan Sarawak melaksanakan VOP 2.0 bagi menampung kenaikan harga bahan binaan.
"VOP 2.0 itu meliputi kontrak berterusan dengan Surat Setuju Terima (LOA) yang dikeluarkan antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021 dan kerajaan Sarawak menanggung kos kira-kira RM700 juta bagi melaksanakan perubahan harga itu," katanya.
Abang Johari berkata, VOP 2.0 meliputi 15 bahan tambahan untuk kerja-kerja pembinaan; 10 bahan tambahan untuk kerja-kerja kejuruteraan awam dan Lanjutan Masa (EOT) sehingga maksimum enam bulan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh agensi masing-masing.
Empat lagi langkah yang dilaksanakan di dalam BKSS 9.0 ialah meneruskan diskaun untuk bil elektrik dan bil air bulanan hingga Disember ini.
"Diskaun antara lima hingga 25 peratus diberikan bagi bil elektrik bulanan isi rumah domestik dan pengguna komersial dan industri termasuk pengusaha makanan dan peruncit.
"Ini akan memberi manfaat kepada 685,000 pemegang akaun di seluruh negeri, membabitkan kos RM201.76 juta," katanya.
Diskaun 10 hingga 25 peratus pula dikenakan terhadap bil air bulanan untuk pengguna domestik, komersil dan industri hingga Disember ini.
"Diskaun ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 685,000 pemegang akaun di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan diskaun bil air ini berjumlah RM35.34 juta," katanya.
Diskaun 25 pula dikenakan bagi kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah untuk premis kediaman, komersil, industri dan premis pegangan khas hingga Disember 2022.
Langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih daripada 500,000 premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ia sekali gus meringankan beban rakyat dan peniaga dengan keseluruhan kos diskaun itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM54.0 juta," katanya.
Selain itu, diskaun 50 peratus terhadap sewa pasar dan gerai PBT untuk peniaga dan penjaja diteruskan hingga Disember ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.73 juta dan memberi manfaat kepada lebih 10,000 penjaja.
"Dalam keadaan sukar sekarang ini, kerajaan Sarawak sentiasa memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat agar memberi manfaat kepada semua golongan.
"Sekarang kita berada dalam fasa pemulihan ekonomi, justeru saya berharap agar langkah-langkah dalam pakej BKSS 9.0 dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Sarawak," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments