top of page

UPSI bakal guna panel solar hasilkan elektrik


Synergy Generated Sdn Bhd ( SGSB)
Gambar hiasan: Projek terbabit adalah hasil kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rakan strategik Synergy Generated Sdn Bhd ( SGSB).

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, dekat sini dijangka mampu menjimatkan sehingga RM13.5 juta melalui projek solar fasa pertamanya.


Manfaat itu dijangka dicapai sepanjang tempoh konsesi selama 20 tahun menerusi lapan kawasan pembinaan panel solar fotovoltaik ( PV) berkapasiti 3.24MWp di kampus universiti itu.


Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata projek terbabit adalah hasil kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rakan strategik Synergy Generated Sdn Bhd ( SGSB) bagi membina panel solar di sekitar kampus berkenaan.


Katanya, projek terbabit selaras dengan hasrat universiti yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan kerjasama antara UPSI Holdings dengan SGSB sejajar dengan objektif strategik UPSI ke arah pembangunan kampus pintar, digital, lestari serta mesra persekitaran.


"Projek pertama berkenaan bakal memberi manafaat dan penjimatan sebanyak RM13.5 juta malah pengurangan pelepasan gas karbon sebanyak 56,000 tan sepanjang tempoh konsesi selama 20 tahun.


"Kerjasama itu juga bakal membuka lebih banyak potensi penyelidikan, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan kepada graduan UPSI yang berminat menceburi bidang Bekalan Tenaga Boleh Baharu," katanya.


Beliau berkata demikian sempena Majlis Memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) antara pihak UPSI dengan SGSB dan TNB, serta surat tawaran antara SGSB dengan Bank Islam Malaysia Berhad ( BIMB) di Dewan Muallim Scholar's Suites, malam tadi.


Perjanjian berkenaan bagi pelaksanaan pemasangan sistem solar di UPSI oleh SGSB dengan kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd.


Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif SGSB, Datuk Wan Shaharuddin Wan Mahmood, Ketua Pegawai Pelanggan TNB, Nasaruddin Mohd Zaini serta Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Institusi Perbankan, Sharifah Sarah Syed Mohamad Tahir.


Ketika ini UPSI mencatat penggunaan bil elektrik sehingga RM11.6 juta setahun.


Sumber: Berita Harian


5 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page