top of page

Untung bersih UEM Edgenta naik 22 peratus


KUALA LUMPUR 25 Feb. - UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mencatatkan untung bersih disatukan yang belum diaudit sebanyak RM152.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 melonjak 22 peratus berasaskan tahun ke tahun.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh prestasi kukuh dalam suku keempat 2018 dengan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM82.9 juta berbanding RM25.1 juta pada suku ketiga tahun lalu.


Menurut beliau, hasil sukuan keempat meningkat 23 peratus kepada RM647.4 juta di mana dua divisyen teras syarikat iaitu penjagaan kesihatan dan servis infrastruktur menyumbang hampir 90 peratus kepada perolehan dan PBT untuk tahun kewangan 2018.


“Di sebalik persekitaran operasi yang mencabar, UEM Edgenta masih mampu mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak tiga peratus kepada RM2.2 bilion pada tahun kewangan 2018 berbanding RM2.1 bilion bagi tempoh sama 2017. Prestasi ini disumbang oleh semua divisyen perniagaan utama syarikat.


“PBT tahun kewangan 2018 meningkat kepada RM198.2 juta didorong oleh penambahbaikan menyeluruh syarikat yang membawa kepada kecekapan dan kos kewangan yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Tambah Azmir, divisyen sokongan kesihatan mencatatkan peningkatan perolehan dan PBT, masing-masing sebanyak lapan dan tujuh peratus tahun ke tahun dipacu oleh perolehan kontrak baharu dari Singapura dan Taiwan serta pengekalan pelanggan yang tinggi dalam perniagaan komersial.


Katanya, divisyen itu turut mendapat manfaat daripada perkongsian amalan terbaik yang berterusan dan perpindahan teknologi antara konsesi dan perniagaan komersial.


Sementara itu, Azmir berkata, UEM Edgenta mengekalkan imbangan kira-kira dengan kedudukan tunai bersih positif sebanyak RM70.1 juta setakat penghujung 2018.


Jelasnya, prestasi itu disumbangkan oleh aliran tunai yang kukuh daripada operasi sebanyak RM209.3 juta pada tahun kewangan 2018.


UEM Edgenta mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak lapan sen untuk tahun kewangan 2018. Jumlah keseluruhan dividen yang dibayar termasuk dividen interim pertama adalah 14 sen yang bersamaan dengan 78.5 peratus daripada keputusan kewangan tahun lalu.


Sumber: Utusan Online


30 views
bottom of page