top of page

Untung bersih suku kedua MISC RM299.5 juta


MISC Bhd

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MISC Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020 susut kepada RM299.5 juta daripada RM399.8 juta pada suku yang sama 2019.


Perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM2.19 bilion daripada RM2.16 bilion bagi tempoh yang sama.


Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MISC berkata perolehan segmen gas asli cecair (LNG) meningkat 5.2 peratus kepada RM692.0 juta didorong hari-hari perolehan lebih tinggi susulan ketiadaan aktiviti dok kering pada tempoh suku dikaji.



Segmen petroleum merekodkan perolehan sebanyak RM1.1 bilion, peningkatan sebanyak 9.8 peratus, dipacu oleh kadar pengangkutan lebih tinggi pada suku berkenaan.


Perolehan segmen luar pesisir susut 10.8 peratus kepada RM230.8 juta disebabkan kesan pengurangan pendapatan pajakan kewangan ditambah dengan penamatan kontrak kemudahan penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) pada Disember 2019.


Selain itu, MISC berkata, perolehan segmen kejuruteraan berat pula berkurangan 44 peratus kepada RM155.2 juta berikutan perolehan lebih rendah dicatatkan oleh projek kejuruteraan berat yang sedang dilaksanakan serta kekurangan jumlah kapal yang diperoleh dalam segmen marin ekoran penutupan limbungan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain langkah sekatan pergerakan global berikutan pandemik serta sekatan ke atas kapal pelanggan antarabangsa daripada berlabuh di limbungan.


Ia berkata, dalam melangkah maju, ekonomi global dijangka mengambil tempoh lebih panjang untuk pulih seperti sebelum berlakunya pandemik manakala inventori minyak yang tinggi dan kadar tambang akan kekal mengalami tekanan bagi baki tempoh tahun ini.


"Namun, segmen perkapalan petroleum akan terus menumpukan usaha menambah pendapatan terjamin menerusi perluasan perniagaan kapal tangki ulang-alik khusus di samping memberi nafas baharu kepada kumpulan kapal minyak mentah yang amat besar dengan sistem bahan api dwi LNG mesra alam untuk mengurangkan sebarang kelemahan dalam pasaran semasa," menurutnya. -BERNAMA



7 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page