top of page

Umpama pungguk rindukan bulan



Gua Musang: Pengguna laluan Gua Musang - Kuala Lipis berharap projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3BC dan 3D dapat disiapkan secepat mungkin bagi melancarkan perjalanan.


Penduduk mendakwa projek LTU terbabit terutama bermula dari Bulatan Gua Musang hingga ke simpang Hospital Gua Musang sudah tertangguh tanpa diketahui puncanya.


Salah seorang pengguna jalan raya, Faizal Che Daud, 39, berkata projek LTU di kawasan itu dilihat semakin perlahan pembinaan.


Katanya, kawasan projek yang bermula dari Bulatan Gua Musang sehingga ke simpang Hospital Gua Musang menjadi laluan utama penduduk.


"Apabila pembinaan projek ini tidak berjalan mengikut jadual, ia akan memberi kesan kepada pengguna jalan raya ditambah pula bahan binaan yang diletakkan di kiri kanan jalan dalam tempoh lama.


"Saya rasa sudah lebih tiga bulan tiada kerja-kerja dibuat di tapak projek ini sehingga lokasi ini dilihat terbiar dan dinaiki semak samun.


"Saya harap pihak kontraktor yang dilantik dapat melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab kerana ia membabitkan ramai pengguna jalan raya dan risiko keselamatan," katanya tadi.


Manakala menurut Haikal Ismail, 35, berkata, sudah lebih setahun pengguna terpaksa melalui jalan alternatif di tepi tapak projek itu.


Katanya, jalan alternatif itu yang kini menjadi laluan utama penduduk dan perantau pulang ke negeri ini kerap rosak dan berlubang.


"Jika projek ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan, sampai bila kami akan menggunakan laluan alternatif ini yang sempit dan berlubang," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya kerap kali menerima aduan daripada penduduk berkaitan masalah terbabit termasuklah kes kebocoran tayar kenderaan.


Katanya, pihak kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya dan pasukan pemantau LTU dapat memastikan gerak kerja di kawasan itu berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual.


Sumber: Harian Metro

Comentarios


bottom of page