top of page

Aidilfitri: Kesesakan luar biasa di Gua Musang, penduduk harap projek LTU dipercepat


Aidilfitri: Kesesakan luar biasa di Gua Musang, penduduk harap projek LTU dipercepat
Kesesakan di Gua Musang dengan kenderaan perantau yang ingin pulang ke ibu kota. - Foto Paya Linda Yahya

Aidilfitri: Kesesakan luar biasa di Gua Musang, penduduk harap projek LTU dipercepat

GUA MUSANG: Berakhirnya cuti sempena sambutan Aidilfitri, daerah ini yang menjadi satu daripada pintu keluar dari negeri ini menyaksikan limpahan kenderaan yang luar biasa.


Tinjauan mendapati Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sesak sejauh lebih enam kilometer (KM) bermula di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sehingga ke Hentian Gua Musang.


Keadaan trafik di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Jeli perlahan susulan kenderaan perantau yang akan pulang untuk bekerja dan terdapat di beberapa lokasi anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas.


Penduduk tempatan, Suriani Abdullah, 38, berkata dia terpaksa keluar seawal jam 6.30 pagi untuk menghantar anak ke sekolah kerana keadaan jalan yang sesak.


Katanya, kesesakan itu sudah dijangka namun tidak menyangka pertambahan kenderaan terlalu banyak dalam masa serentak.


"Memang saya sudah menyangka jalan akan sesak pada hari ini kerana warga kota akan mula bekerja esok, namun kesesakan adalah sangat luar biasa apabila di bulatan dekat projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) kereta tidak bergerak.


"Hari ni semua jalan menghala ke arah Kuala Lumpur sesak termasuk jalan di hadapan sekolah anak saya iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2," katanya.


Zulkifli Yahya, 42, berharap dua projek LTU di kawasan laluan menuju ke Kuala Lumpur dapat dipercepatkan bagi mengurangkan kesesakan pada musim perayaan.


"Projek LTU ini penting dan perlu dipercepatkan untuk kemudahan perantau untuk pergi dan balik kampung setiap kali musim perayaan.


"Berdasarkan keadaan semasa kalau kita tengok, kenderaan adakalanya tidak bergerak di bulatan projek LTU sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya sudah membuat penarikan sejak semalam sehingga jam 2 pagi tadi.


"Pagi ini pihak polis akan meneruskan penarikan bagi menyuraikan laluan Gua Musang-Kuala Lipis. Kami akan sentiasa komited membantu dan memudahkan urusan pengguna jalan raya yang melalui daerah ini.


"Diharap pengguna jalan raya dapat bersabar kerana kesesakan ini berpunca daripada faktor bermulanya hari persekolahan di daerah ini hari ini dan pertambahan kenderaan perantau yang akan pulang ke ibu kota," katanya.



Aidilfitri: Kesesakan luar biasa di Gua Musang, penduduk harap projek LTU dipercepat

bottom of page