UEM Group Bhd (UEM Group) menerusi anak syarikat milik penuh dan sayap industri hijau, UEM Lestra Bhd (UEM Lestra) memeterai perjanjian bersama Blueleaf Energy dan ITRAMAS Corporation Sdn Bhd (ITRAMAS) bagi membangunkan sebuah loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 500 megawatt (MW).
Syarikat itu memaklumkan, projek berkenaan adalah yang kedua bakal dibangunkan UEM Lestra bersama rakan strategiknya sebagai inisiatif loji jana kuasa solar hibrid satu gigawatt (GW) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).
"UEM Lestra menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat portfolio di bawah Macquarie Asset Management iaitu Blueleaf Energy dan ITRAMAS mencatatkan kemajuan dalam pembangunan loji jana kuasa solar hibrid 1GW termasuk mengenal pasti lokasi, perbincangan berhubung pembeli strategik, pengkomersialan serta spesifikasi teknikal projek tersebut.
"Ketiga-tiga pihak akan bekerja rapat dengan kerajaan dalam memperincikan rangka kerja akses pihak ketiga (TPA) yang diperlukan sebelum projek berkenaan dapat dilaksanakan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurut UEM Group, perjanjian yang ditandatangani itu bakal menyaksikan ketiga-tiga syarikat bekerjasama membangunkan loji jana kuasa solar hibrid 500MW.
Pemeteraian memorandum itu juga melibatkan perjanjian pemegang saham yang ditandatangani antara UEM Lestra dan Blueleaf Energy bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama Lestra Blueleaf JV Sdn Bhd (Lestra Blueleaf JV).
Perjanjian itu menetapkan 51 peratus pegangan dimiliki UEM Lestra dan baki 49 peratus oleh Blueleaf Energy.
Perjanjian seterusnya membabitkan kerjasama teknikal antara Lestra Blueleaf JV dan ITRAMAS yang menyaksikan ITRAMAS menyediakan perkhidmatan teknikal dalam membangunkan satu pakej EPCC (Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan) yang lengkap.
Perjanjian ditandatangani pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan UEM Lestra, Nor Hafifi Jalal manakala Blueleaf Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raghuram Natarajan dan Ketua Strategi dan Perancangan, Scott Griffiths.
Selain itu ITRAMAS diwakili Pengarah Urusan, Lee Choo Boo dan Pengerusinya, Datuk Khairuddin Ibrahim.
Sementara itu Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, perjanjian berkenaan mencerminkan komitmen dan dedikasi semua pihak dalam menjayakan usaha pembangunan loji jana kuasa solar hibrid 1GW.
"Kerjasama antara syarikat tempatan dan asing dalam projek ini membolehkan kita memanfaatkan kepakaran strategik masing-masing bagi melengkapi satu sama lain serta menghasilkan momentum dalam memacu agenda peralihan tenaga di Malaysia.
"Tumpuan kita adalah ke arah mendapatkan persetujuan yang diperlukan daripada pihak berkuasa dan pada masa sama, terus mendapatkan komitmen daripada syarikat berpotensi untuk menjadi pembeli bekalan tenaga," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
UEM Lestra meterai kerjasama bangunkan loji jana kuasa solar hibrid
Comments