top of page

UEM Edgenta sasar pertumbuhan dua digit


Sumber Gambar: mStar

PETALING JAYA 15 Mei - UEM Edgenta Bhd. yakin mencatat pertumbuhan dua digit tahun ini menerusi tumpuan berterusan ke atas bahagian penjagaan kesihatan dan pelaburan teknologinya.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menjadikan organisasi itu lebih kukuh dan mantap untuk mengenal pasti, memperoleh dan melaksanakan kerja.


“Kami sedang mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan margin menerusi program LEAN kami yang bermatlamat membangunkan kapasiti secara menyeluruh dalam syarikat menerusi penambahbaikan proses dan latihan, selain program teknologi dan berfokuskan inovasi serta menangani bidang operasi berimpak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

UEM Edgenta yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital dan penyelenggaraan lebuh raya mencatatkan lonjakan 21.8 peratus keuntungan selepas cukai kepada RM152.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 manakala hasil meningkat 3.3 peratus kepada RM2.18 bilion.


Azmir berkata, bahagian sokongan penjagaan kesihatan akan terus menjadi enjin pertumbuhan paling kukuh buat syarikat itu ketika ia berusaha menambah bahagian pasarannya di Singapura. - BERNAMA



15 views
bottom of page