top of page

UEM Edgenta minat sertai projek HSR KL-Singapura


Syahrunizam Samsudin.

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd berminat menyertai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan akan menghantar bidaan tender yang berkaitan kepakaran kumpulan itu, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin.


Katanya, penyambungan semula projek infrastruktur mega negara seperti HSR mampu memberikan peningkatan pendapatan syarikat yang terbabit dalam perkhidmatan infrastruktur.


Pembabitan dalam projek berskala besar seperti itu adalah peluang kepada pengukuhan kewangan kumpulan, jelas beliau.



"Ia satu peluang kepada kami. Jika ada bidang di mana tender memenuhi kemampuan kumpulan ketika ini, kami pasti akan menghantar bidaan.


"Ini kerana UEM Edgenta mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam projek pengangkutan awam berskala besar, memiliki kemampuan dalam projek rel, terutamanya dalam perunding pengurusan projek dan juga kejuruteraan sistem.


"Kumpulan ketika ini sedang melihat bidang yang tersedia untuk bidaan. Pada separuh kedua tahun ini, kami akan turut serta sekiranya terdapat pengumuman tender baru," katanya selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh kedua UEM Edgenta di sini hari ini.


Syahrunizam berkata, UEM Edgenta menjangkakan keadaan ekonomi juga akan lebih baik pada separuh kedua 2020 dengan kebanyakan projek mega kini disambung semula setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Beliau berkata, kumpulan juga ketika ini berada dalam kedudukan kukuh dengan kontrak sedia ada sebanyak RM12.2 bilion setakat 30 Jun 2020.


Katanya, pengukuhan itu terutamanya disumbangkan oleh segmen sokongan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan infrastruktur selain segmen perniagaannya yang lain.


"Pengurusan kos yang cermat juga menjadi keutamaan kumpulan pada separuh kedua ini dan kekal komited memainkan peranan kami sebagai syarikat yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di Malaysia.


"Malah platform dan penyelesaian berasaskan teknologi juga akan menjadi fokus utama kami dalam penawaran pasaran. Ini akan mengekalkan daya tahan pasca COVID-19," katanya.


Pada separuh pertama 2020, UEM Edgenta mencatat keuntungan bersih dinormalisasi sebanyak RM34.8 juta, tidak termasuk penurunan nilai 'one off' sebanyak RM50 juta untuk inventori hartanah yang tidak terjual, dengan mencatatkan pendapatan sebanyak RM950.3 juta.


Syahrunizam berkata, segmen sokongan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM565.4 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM20.5 juta pada separuh pertama 2020.


Beliau berkata, ia terutamanya disumbang oleh permulaan kontrak baru di Singapura dan Taiwan serta projek tambahan termasuk perkhidmatan pembasmiaan kuman di Malaysia dan Singapura.


"Segmen perkhidmatan infrastruktur pula mencatatkan pendapatan dan keuntungan bersih masing-masing sebanyak RM268.2 juta dan 23.7 juta.


"Penyelesaian Hartanah dan Kemudahan pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM68.9 juta dengan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 22.6 peratus kepada RM11.3 juta," katanya.



110 views
bottom of page