top of page

Tujuh projek mega bakal ubah ekonomi Kedah


ALOR SETAR - Pengumuman tujuh projek mega bernilai berbilion ringgit oleh kerajaan Persekutuan kepada Kedah diibaratkan sebagai hadiah besar untuk rakyat Kedah.


Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, pengumuman ini juga umpama ‘hujan lebat di musim kemarau’, yang melanda Kedah kini.


Menurutnya, inisiatif itu menunjukkan kepekaan ekonomi yang sangat tinggi oleh kerajaan terhadap pembangunan ekonomi negeri Kedah.


“Apatah lagi, bajet tersebut diluluskan serta-merta, ia seharusnya menggembirakan rakyat Kedah. Ini kerana projek-projek tersebut mampu memberi tiga kesan berbeza, iaitu untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, dan diyakini mampu mengubah landskap ekonomi Kedah secara keseluruhan,” katanya.


Dr Mohd Azwardi berkata, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Lebuhraya Korodor Utara, Fasa 1A dari Bandar Baharu ke Sungai Petani serta Fasa 1B dari Bandar Baharu ke Jambatan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang mampu merancakkan ekonomi Kedah dalam tempoh panjang selain memberi nafas baharu dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Kedah.


“Pembinaan Taman Industri Petrokimia dan Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam pula dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan yang banyak untuk rakyat Kedah,” katanya.


Menurutnya, malah untuk meningkatkan masyarakat berilmu, sebuah perpustakaan digital turut diberikan penekanan agar rakyat Kedah berpengetahuan luas pada masa akan datang.


“Aspek kebajikan juga tidak dipinggirkan apabila diperkenalkan kad KIDA (Kasih Ibu Darul Aman) yang bakal memberi impak segera kepada golongan ibu yang menjadi ketua isi rumah dalam mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.


Dr Mohd Azwardi berkata, setelah Kedah dilimpahi rahmat itu, menjadi tugas rakyat untuk memahami dan mencari kaedah terbaik memanfaatkan projek terbabit.


“Bagi mencapai hasrat itu, agensi pusat dan negeri harus bekerjasama erat dan menyebarkan maklumat berkaitan supaya rakyat Kedah boleh turut serta rancakkan ekonomi. Agensi seperti pejabat daerah, pejabat penghulu, MARA dan yang berkaitan perlu menyediakan pelan dan program agar rakyat merasai nikmat pembangunan daripada projek berimpak tinggi itu,” katanya.


Menurutnya, koordinasi berkesan antara kerajaan dan rakyat mampu melonjakkan Kedah untuk mencapai taraf negeri maju.


“Rancangan pembangunan Kedah ini sudah semestinya dirancang dengan teliti oleh kerajaan Persekutuan dan negeri. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Kedah, dan yakin rakyat juga amat hargai usaha baik ini,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


24 views

Comments


bottom of page