top of page

Tubuh ‘task force’ permudahkan proses pembinaan infrastruktur elektrik di CVIA


Tubuh ‘task force’ permudahkan proses pembinaan infrastruktur elektrik di CVIA
Gambar hiasan

Tubuh ‘task force’ permudahkan proses pembinaan infrastruktur elektrik di CVIA

KANGAR: Satu task force ditubuhkan bagi mempercepatkan dan mempermudahkan proses pembinaan infrastruktur bekalan elektrik di tapak projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA) di Padang Besar.


Penubuhan task force berkenaan merupakan komitmen daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama-sama kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dalam memastikan kelancaran projek berimpak tinggi tersebut.


Pengurus Besar TNB Kedah dan Perlis, Wan Ishak Soed berkata, bagi pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132KV di tapak CVIA, pihaknya menjangkakan pelaksanaan berkenaan tidak memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan.


“Dengan penubuhan task force ini, kita mengharapkan pembinaan pencawang ini dapat dipermudahkan dan direalisasikan dalam tempoh dua ke tiga tahun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hi Tea bersama pengamal media Perlis di Fairy Le Phenomenal di sini hari ini.


Terdahulu, Wan Ishak mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli bagi membincangkan mengenai penyediaan infrastruktur bekalan elektrik di kawasan CVIA.


Mengulas lanjut, Wan Ishak berkata, pelan kebenaran merancang bagi pembinaan infrastruktur bekalan elektrik tersebut juga telah diluluskan, malah NCIA turut memperuntukkan tapak bagi pembinaan pencawang TNB di kawasan berkenaan.


“Jumlah keseluruhan pencawang yang akan dibina di CVIA adalah membabitkan sebuah PMU 132KV dan tiga Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33KV,” katanya.


Dalam pada itu, Wan Ishak berkata, bagi pembinaan PPU 33KV yang pertama, pelaksanaannya telah mencapai tahap 35 peratus dan dijangka siap mula tugas pada Jun 2024.


Tambahnya, keluasan tanah yang diberikan bagi pembinaan semua pencawang itu juga mencukupi dalam memastikan infrastruktur bekalan elektrik dapat disediakan di kawasan berkenaan.


“TNB mempunyai komitmen tinggi dalam memastikan bekalan elektrik dapat disampaikan kepada pengguna dan pelabur di CVIA bagi membolehkan mereka mendapat bekalan berdaya harap, berkualiti, selamat dan cepat,” katanya.


Sumber: Utusan


Tubuh ‘task force’ permudahkan proses pembinaan infrastruktur elektrik di CVIA

Comentários


bottom of page