top of page

Kawasan Industri Lembah Chuping antara 83 projek dilulus tahun ini - Rina Harun


ARAU 26 Feb. - Projek pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) yang dirancang untuk menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Perlis adalah antara 83 projek yang akan dilaksanakan tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.


Tanpa menyatakan jumlah peruntukan yang diluluskan untuk CVIA, beliau berkata kerajaan persekutuan lebih mengutamakan projek-projek yang memberi impak kepada sosio ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


CVIA dirancang dibangunkan dalam tempoh 10 tahun untuk industri berteknologi hijau oleh kerajaan Perlis untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).


Rina yang juga pengerusi Majlis Tindakan Negeri Perlis (MTNg) berkata daripada 83 projek itu, 70 adalah projek fizikal termasuk 27 yang sedang dalam pembinaan membabitkan peruntukan sebanyak RM271.7 juta.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MTNg Perlis bagi tahun ini di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, semalam.


Katanya, MTNg Perlis juga akan membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi melaksanakan beberapa program keusahawanan untuk mengeluarkan 68 keluarga miskin tegar yang berdaftar di bawah E-Kasih daripada kategori itu menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA


Sumber: Utusan Online


71 views
bottom of page